Sebagai pengiktirafan terhadap prestasi luar biasa skuad kebangsaan Mesir di Piala Dunia FIFA, jutawan UAE Mohammed Khalaf Al Habtoor telah menawarkan kereta kepada seluruh pasukan tersebut.

Beliau menyifatkan pemberian itu sebagai — “ungkapan kasih sayang dan penghargaan kami buat wira-wira Mesir”, petik Khleej Times.

Walaupun tersingkir selepas kekalahan kepada Argentina di pusingan 16 terakhir, pemain-pemain Mesir mempamerkan aksi cemerlang sepanjang perlawanan tersebut dan meletakkan juara bertahan yang diketuai bintang handalan Lionel Messi dalam kebuntuan hampir sepanjang permainan, sehinggalah mereka menjaringkan tiga gol dalam tempoh sekitar 15 minit untuk layak ke suku akhir.

Mesir mencatatkan kemenangan sulung mereka di Piala Dunia sebelum kemudiannya mara ke pusingan 16 pasukan terakhir buat kali pertama dalam kejohanan global tersebut selepas menewaskan Australia menerusi penalti.

Al Habtoor memuji para pemain Mesir kerana pasukan tersebut telah mengharumkan nama negara mereka, menggembirakan para peminat, serta memberi pengajaran kepada setiap warga Arab tentang keazaman, kecekalan, dan semangat juang yang tinggi”.

Jutawan yang juga pengasas dan pengerusi Kumpulan Al Habtoor itu menyatakan bahawa apa yang dicapai oleh skuad kebangsaan Mesir bukan sekadar pencapaian untuk Mesir sahaja, malah menjadi sumber ‘kebanggaan bagi setiap warga Arab’.

“Kegembiraan Mesir hari ini adalah kegembiraan setiap warga Arab. Apa yang dipersembahkan oleh pasukan ini selayaknya menerima segala penghargaan, dan menjadi kewajipan kita untuk meraikan mereka yang menjulang tinggi bendera Arab di persada antarabangsa. Saya mendoakan agar mereka terus meraih lebih banyak kejayaan dan pencapaian yang setimpal dengan nama serta kedudukan Mesir.”

“Anda telah membuktikan bahawa keyakinan, kerjasama dalam semangat berpasukan, dan perjuangan sehingga wisel penutup adalah nilai-nilai yang membuahkan pencapaian. Masa depan terbentang luas di hadapan anda, dan apa yang telah anda pamerkan dalam Piala Dunia ini mengesahkan bahawa bola sepak Mesir mampu melakar lebih banyak kejayaan,” kata Mohammed Khalaf Al Habtoor.

Pada 10 Julai, ratusan penyokong yang gembira dan teruja telah menyambut kepulangan skuad bola sepak kebangsaan Mesir.

Lautan peminat yang berpakaian merah, putih, dan hitam membanjiri kawasan di luar lapangan terbang di El-Alamein, di mana pasukan The Pharaohs menaiki bas berbumbung terbuka untuk perarakan mengelilingi bandar pesisir pantai tersebut.

Para penyokong mengibarkan bendera Mesir dan bendera Palestin sebagai tanda sokongan kepada Gaza yang terletak berhampiran, serta membawa poster ketua jurulatih, Hossam Hassan, yang menyelimuti dirinya dengan kedua-dua bendera berkenaan semasa kejohanan berlangsung.

Dalam satu kenyataan, Kumpulan Al Habtoor mengumumkan bahawa pihak mereka telah berkoordinasi dengan Persatuan Bola Sepak Mesir, dan satu persetujuan telah dicapai untuk menghadiahkan sebuah kereta Mitsubishi kepada setiap ahli delegasi pasukan kebangsaan Mesir.

Langkah tersebut, tambahnya, merangkumi semua ahli delegasi pasukan kebangsaan, bermula daripada para pemain, staf teknikal, staf pengurusan, sehinggalah kepada pasukan perubatan, ‘sebagai pengiktirafan terhadap usaha mereka dan atas keyakinan bahawa kejayaan adalah buah hasil daripada kerja berpasukan’.

Sumber