Pingat emas sulung kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA 2025 hadir menerusi skuad hoki 5s (Sebelah) lelaki selepas berjaya menundukkan Indonesia 7-3 pada aksi final yang berlangsung di Padang Hoki Royal Thai Air Force, Bangkok sebentar tadi.

Kejayaan manis itu hadir selepas anak-anak buah Hasnizam Hassan dan Wallace Tan mempamerkan disiplin bertahan serta gerakan serangan tajam sepanjang perlawanan sekali gus memastikan kemenangan dalam acara yang pertama kali dipertandingkan itu.

Ia bukan sahaja membuka tirai kutipan pingat negara dengan cara yang cukup meyakinkan malah mengangkat skuad hoki 5s lelaki sebagai pencetus momentum awal buat keseluruhan kontinjen Malaysia di Thailand.

Malaysia Raih Pingat Emas Pertama Sukan SEA 2025 Menerusi Hoki 5s Lelaki
Kredit Foto: MHC

Pingat Emas Pertama Buat Malaysia

Malaysia membuka tirai jaringan menerusi pukulan kilas ketua pasukan, Akhimullah Anuar Esook pada minit ketujuh dan seminit kemudian, gol kedua skuad negara disumbangkan dengan tenang oleh Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee.

Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran menjadikan kedudukan 3-0 selepas pukulan kilas dari sebelah kiri dilakukannya gagal diselamatkan penjaga gol Indonesia pada minit ke-14.

Bermula sahaja babak kedua, pukulan jarak dekat oleh Akhimullah mengukuhkan kedudukan buat skuad negara.

Indonesia cuba bangkit pada minit ke-19 menerusi jaringan Mochamad Fathur tetapi kelebihan itu tidak bertahan lama selepas Muhammad Abid Sufian sekali lagi menemui sentuhan jaringan.

Indonesia yang dibimbing Muhammad Dharma Raj Abdullah bagaimanapun tidak mudah menyerah kalah apabila memberikan tekanan dengan tambahan dua jaringan oleh Alfandy Prastyo.

Namun, ia masih belum cukup buat Indonesia untuk merentap semangat juang pemain negara yang menambah gol keenam

Tidak cukup dengan itu, Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini mudah menolak masuk bola hasil hantaran Akhimullah untuk mengesahkan kemenangan 7-3 memihak Malaysia.

Skuad hoki berpeluang untuk menambah pingat emas kedua apabila skuad wanita dalam acara sama sedang beraksi bertemu Thailand pada aksi final.