Peminat dan media sukan Thailand menyifatkan kekalahan pasukan sepak takraw lelaki mereka di tangan Malaysia sebagai merencatkan keraikan 100 pingat emas negara itu.

Thailand sudah melepasi angka 100 pingat emas dalam Sukan SEA 2025 yang dianjurkan di negara mereka.

Namun semalam skuad sepak takraw mereka dikalahkan oleh Malaysia di halaman mereka sendiri.

Kekalahan mengejut kepada musuh tradisi, Malaysia, dalam final acara berpasukan sepak takraw lelaki — satu kekalahan yang menamatkan dominasi tuan rumah selama 34 tahun dalam sukan itu pada hari mereka meraikan pesta 100 emas.

Lantas peminat menganggap Malaysia berjaya merosakkan sedikit kegembiraan Thailand pada kali ini memandangkan Malaysia adalah musuh tradisi dan sepak takraw antara sukan terpenting dalam arena sukan di negara itu.

Thailand sudah mengumumkan mereka mensasarkan 200 pingat emas di halaman sendiri dan kini – setakat artikel ini ditulis – tuan rumah sudah merangkul lebih 130 pingat emas.

Kehadiran penonton penuh di Pusat Sukan Perbandaran Nakhon Pathom berkapasiti 4,000 tempat duduk menyaksikan kekalahan pasukan sepak takraw mereka dengan penuh tidak percaya apabila Malaysia bangkit daripada ketinggalan awal untuk meraih kejuaraan berpasukan lelaki dengan kemenangan 2-1.

Thailand memenangi regu pertama dengan keputusan 2-1, namun Malaysia bangkit dengan dua kemenangan berturut-turut 2-1 dalam regu B dan C, sekali gus mengecewakan penyokong tuan rumah dan menamatkan dominasi Thailand yang berlanjutan sejak 1991.

Menurut wartawan Bangkok Post, kekalahan dalam final berpasukan lelaki kepada Malaysia hampir tidak terbayang sebelum ini; keputusan Ahad itu menjadi peringatan jelas bahawa keunggulan serantau tidak boleh dianggap kekal.

Sekurang-kurangnya terdapat sedikit pengubat kekecewaan apabila pasukan wanita Thailand lebih awal pada hari tersebut menewaskan Vietnam 2-0 untuk meraih pingat emas, sekali gus mengekalkan tradisi cemerlang mereka dalam sukan dalam acara wanita.