Kontinjen Kemboja membuat keputusan mengejutkan ramai pihak apabila menarik diri lebih awal daripada temasya Sukan SEA kerana kebimbangan serius daripada keluarga para atlet mengenai aspek keselamatan.
Perkara itu dimaklumkan melalui surat rasmi yang dihantar oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja (NOCC), H.E. Vath Chamroeun kepada Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Sukan SEA, Chaiyapak Siriwat.
Menurut NOCC, keputusan itu dibuat selepas menerima permintaan mendesak daripada keluarga atlet yang mahu ahli keluarga mereka pulang segera ke Kemboja.
NOCC berkata: “Disebabkan kebimbangan serius dan permintaan daripada keluarga atlet kami untuk membawa pulang saudara-mara mereka dengan segera, NOCC harus menarik keluar seluruh delegasi kami dan mengatur kepulangan mereka ke Kemboja atas faktor keselamatan.”
NOCC turut menjelaskan bahawa keputusan itu bukan dibuat sewenang-wenangnya, malah mereka menghargai layanan pihak tuan rumah sepanjang temasya berlangsung.
“Keputusan ini tidak dibuat dengan mudah. Kami sangat menghargai layanan, kehangatan dan semangat kesukanan yang diberikan kepada atlet kami.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan akibat kepulangan awal ini.”
NOCC juga menegaskan bahawa mereka akan bekerjasama rapat dengan pejabat penganjur bagi mengurus segala urusan kepulangan delegasi serta formaliti berkaitan.
Penarikan diri awal ini dijangka memberi kesan kepada beberapa acara yang melibatkan atlet Kemboja, namun NOCC menekankan bahawa keselamatan adalah keutamaan utama.
NOCC turut merakamkan penghargaan kerana memahami pernyataan mereka serta berterima kasih kepada pihak penganjur yang membantu mereka dalam menangani situasi tersebut.