Skuad Sepak Takraw Malaysia akhirnya berjaya menamatkan penantian panjang selama 34 tahun untuk memenangi pingat emas dalam acara regu berpasukan lelaki Sukan SEA selepas cemerlang menewaskan Thailand 2-1 pada aksi final sebentar tadi.

Kemenangan penuh bersejarah itu lebih manis kerana barisan pemain negara dapat melenyapkan sorakan padu penyokong tuan rumah yang membanjiri Gimnasium Nakhon Pathom.

Thailand bermula dengan baik apabila regu pertama diwakili Pornthep Thinbangbon, Phutawan Sopa (Varayut Jantarasena) dan Marukin Phanmakon menang set pertama 15-9 ke atas Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Nordin dan Amirul Zazwan Amir.

Regu Malaysia itu bagaimanapun tampil lebih cemerlang pada set kedua untuk menang 15-11 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Aksi lebih sengit dapat disaksikan pada set ketiga apabila kedua-dua regu saling kejar-mengejar mata hingga terikat 13-13. Namun, nasib lebih menyebelahi Thailand yang mengesahkan kemenangan 15-13 untuk mata pertama buat tuan rumah.

Regu kedua negara, Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam membuktikan status mereka selaku regu terbaik dunia apabila bangkit daripada ketinggalan 0-6 untuk menang 17-14 pada set pertama ketika berhadapan dengan Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai & Rachan Viphan.

Walaupun diberikan tentangan hebat pada set kedua, ia masih tidak mampu merentap semangat Syahir, Azlan dan Farhan untuk menang 15-13 sekali gus mengikat kembali kedudukan.

Kemenangan itu jelas menyemarakkan lagi semangat juang Zulkifli Razak (Zarif Marican Ibrahim Marican), Afifudin Razali & Aidil Aiman Azwawi yang berhadapan dengan Sittipong Khamchan (Kritsanapong Nontakote), Tanaphon Sapyen dan Sirisak Anuloon.

Bangkit daripada ketinggalan 0-7, regu ketiga negara itu dengan tenang menyerap tekanan untuk menang 15-13 dan kemudiannya mengesahkan kejuaraan hasil kemenangan 15-11 bagi menamatkan kemarau pingat emas dalam kategori ini buat skuad sepak takraw Malaysia.

Order of Play

Regu 1 (1-2) – 9-15, 15-11, 13-15

Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Nordin & Amirul Zazwan Amir lawan Pornthep Thinbangbon, Phutawan Sopa (Varayut Jantarasena) & Marukin Phanmakon

Regu 2 (2-0) 17-14, 15-13

Syahir Rosdi, Azlan Alias & Farhan Adam lawan Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai & Rachan Viphan

Regu 3 (2-0) – 15-13, 15-11

Zulkifli Razak (Zarif Marican Ibrahim Marican), Afifudin Razali & Aidil Aiman Azwawi lawan Sittipong Khamchan (Kritsanapong Nontakote), Tanaphon Sapyen & Sirisak Anuloon