Skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia akan turun menentang Thailand pada aksi separuh akhir Sukan SEA 2025 yang berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok malam ini.
Skuad negara tetap berjaya melepasi peringkat kumpulan meskipun tewas 0-2 pada aksi terakhir kumpulan B bertemu Vietnam selepas juara bertahan, Indonesia hanya mampu menang 3-1 ke atas Myanmar.
Keputusan yang sekali gus membawa Malaysia ke separuh akhir selaku pasukan tangga kedua terbaik manakala Indonesia tersingkir daripada persaingan.
Info Siaran Langsung Separuh Akhir Bola Sepak Sukan SEA 2025
Malaysia vs Thailand
Sepak mula: 9:00 malam, 15 Disember 2025 (Isnin)
Tempat: Stadium Rajamangala, Bangkok
Siaran Langsung: Astro Arena Bola 2 (802), TVS, & RTMKlik!
Anda mempunyai banyak pilihan untuk menonton perlawanan ini kerana Astro Arena bukan merupakan satu-satunya stesen televisyen tempatan yang bakal menyiarkan siaran langsung aksi ini, malah ia boleh ditonton di saluran TV Sarawak (TVS)
Untuk menyaksikan di laptop, komputer dan telefon pintar, anda perlu memiliki aplikasi Astro Go, Sooka dan melayari laman sesawang rasmi RTMKlik! untuk menyaksikan secara ‘Live Streaming’ di saluran Sukan RTM serta laman sesawang TVS.
Barisan pemain negara pastinya turun ke padang pada malam ini dengan harapan menggunung untuk mara ke pentas final selepas kali terakhir Malaysia melakukannya pada 2017 di Shah Alam.
Manakala kali terakhir Malaysia muncul juara acara ‘ibu segala pingat’ itu ialah pada 2011 selepas menundukkan Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 di Jakarta.
Walaupun corak permainan terutamanya ketika berhadapan dengan Vietnam mendapat kritikan peminat bola sepak negara, skuad kendalian Nafuzi Zain perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang berjaya mara ke separuh akhir.
Manakala Thailand yang memiliki kelebihan beraksi selaku tuan rumah juga bakal turun dengan misi menebus kekecewaan dua edisi berturut-turut tewas di pentas final.