Malaysia mempamerkan aksi cemerlang untuk memenangi pingat emas acara regu lelaki sepak takraw Sukan SEA 2025 selepas menewaskan Vietnam 2-0 pada aksi final yang berlangsung di Gimnasium Nakhon Pathom, Thailand sebentar tadi.
Tugas lebih mudah buat kem negara untuk memburu pingat emas berganda dalam temasya ini selepas Thailand menerima kejutan terbesar gagal menundukkan Vietnam.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam untuk memadamkan impian besar Vietnam yang disandarkan kepada Ngo Thanh Long (tekong), Dau Van Hoang (apit kanan) dan apit kiri, Vuong Minh Chau.
Berbekalkan servis mantap Syahir, libasan bertenaga Azlan dan ketenangan Farhan, regu berpengalaman negara itu jelas tidak terlalu berdepan masalah untuk menang set pertama 15-9.
Memasuki set kedua, Syahir melakukan beberapa kesilapan pada peringkat permulaan hingga membuatkan Haziq Hairul Nizam menggantikannya.
Haziq tidak mensia-siakan peluang yang diberikan untuk beraksi baik bagi memastikan pingat emas menjadi milik Malaysia dengan kemenangan 15-9.
Temasya di Thailand ini merupakan kempen yang cukup positif buat kem regu lelaki negara selepas berjaya menamatkan penantian 34 tahun dalam regu berpasukan untuk meraih pingat emas dan kemudiannya mengulangi prestasi membanggakan dalam muncul juara acara regu.