Selepas gagal meraih sebarang pingat emas dalam acara regu berpasukan, regu dan kuadran lelaki di Sukan SEA 2025 tempoh hari, Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) telah mengumumkan keputusan drastik berhubung pencapaian buruk tersebut.
Langkah tegas itu menyaksikan rombakan menyeluruh bakal dilakukan membabitkan barisan jurulatih serta pengurusan pasukan kebangsaan.
Kegagalan skuad lelaki Thailand meraih pingat emas dalam acara-acara dinyatakan adalah satu keputusan yang dianggap antara prestasi paling memalukan dalam sejarah sepak takraw negara itu, lebih-lebih lagi apabila kejohanan berlangsung di laman sendiri.
Rombakan Bakal Dilakukan Sepak Takraw Thailand
Menurut sumber laporan World Of Sepaktakraw, Presiden TAT, Thana Chaiyaprasit menegaskan kegagalan total di Sukan SEA 2025 adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi bagi sebuah negara yang selama ini dikenali sebagai kuasa besar sepak takraw dunia.
“Kami pasti akan membuat perubahan. Kekalahan di gelanggang sendiri tidak sepatutnya berlaku.”
“Persatuan akan memanggil semua pemain, jurulatih dan pihak pengurusan untuk sesi analisis terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kemerosotan
Menurutnya, sesi bedah siasat tersebut akan menjadi asas penting sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat, termasuk soal pelantikan semula atau penamatan kontrak individu tertentu dalam struktur pasukan kebangsaan.
Dalam masa sama Thana turut menggariskan beberapa perkara yang menjadi perhatiannya.
Pelantikan Jurulatih Ikut Keperluan Kejohanan
Thana turut memaklumkan bahawa TAT merancang untuk memperketatkan sistem pelantikan jurulatih dan pengurus pasukan pada masa akan datang.
Berbeza dengan pendekatan sebelum ini, barisan kejurulatihan akan dilantik berdasarkan kesesuaian dan keperluan setiap kejohanan, sekali gus memberi fleksibiliti dari sudut taktikal serta persediaan pasukan.
Pendekatan baharu ini dilihat sebagai usaha TAT untuk menyesuaikan diri dengan landskap sepak takraw serantau yang semakin kompetitif, terutama dengan peningkatan prestasi negara-negara pesaing.
Krisis Dana Lumpuhkan Liga Tempatan
Namun, isu prestasi di peringkat antarabangsa bukan satu-satunya masalah yang menghantui sepak takraw Thailand ketika ini.
Thana mendedahkan bahawa Liga Sepak Takraw Thailand telah lumpuh akibat ketiadaan dana daripada National Sports Development Fund (NSDF) dan Sports Authority of Thailand (SAT) sejak empat tahun lalu.
Ketiadaan liga domestik yang kompetitif ini memberi kesan besar terhadap pembangunan pemain, sekali gus menjejaskan kesinambungan bakat serta persaingan sihat dalam kalangan atlet tempatan.
Pemain Thailand Berhijrah Ke Liga Malaysia
Situasi itu turut menjadi punca utama ramai pemain bintang Thailand berhijrah ke Liga Sepak Takraw Malaysia yang kini menawarkan platform lebih stabil dari segi pertandingan serta sumber pendapatan.
Penghijrahan tersebut bukan sahaja untuk memastikan pemain kekal kompetitif, malah menjadi jalan keluar bagi menjamin kelangsungan karier profesional mereka ketika liga tempatan tidak berfungsi.
Sinar Harapan: Liga Thailand Mungkin Kembali
Dalam nada lebih positif, Thana memberikan sedikit sinar harapan kepada peminat sepak takraw Thailand dengan mengesahkan bahawa perbincangan untuk menghidupkan semula liga kini berada di fasa akhir.
Melalui pelaksanaan “Pelan B” yang melibatkan penglibatan sektor swasta, liga profesional Thailand dijangka dapat diaktifkan semula dalam masa terdekat.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting untuk memulihkan ekosistem sepak takraw negara itu, sekali gus menjadi asas untuk Thailand kembali membina dominasi mereka dalam sukan tersebut sebelum terus dipintas oleh pesaing serantau yang semakin agresif.