Bagi setiap pasangan suami isteri, Rumahku Syurgaku adalah impian yang paling hakiki. Memiliki kediamaan yang tenang dengan kejiranan yang baik boleh dikira satu rahmat buat mereka yang berjaya mencapainya.
Namun situasi sebaliknya pula buat sepasang suami isteri yang menetap di Taman Pulai Indah berkongsi kisah episod menyayat hati apabila segala usaha yang dicurahkan untuk menghabiskan sisa kehidupan di rumah idaman berkubur begitu sahaja dek kerana sifat tidak bertanggungjawab jiran tetangga.
Luahan yang meruntun hati ini telah dikongsikan semula oleh seorang pengguna Facebook lalu menjadi perhatian di platform tersebut.
“Saya menulis ini dengan linangan air mata. Kami telah pun menjual rumah kami di Taman Pulai Indah yang didiami selama 20 TAHUN ini dan akan berpindah keluar hujung bulan ini.
“Rumah ini adalah hasil titik peluh kami suami isteri selama dua dekad. Kami dah renovate dengan belanja PULUHAN RIBU RINGGIT termasuk mencantikkan laman tepi kerana niat hati nak jadikan ini sebagai rumah persaraan kami untuk hari tua.
“Namun, segala impian, pelaburan dan kasih sayang yang kami curahkan pada rumah ini musnah sekelip mata,” ujar pada awalnya.
Dakwanya, mereka sudah tidak sanggup lagi menanggung penderitaan seksaan bau najis binatang peliharaan kucing jiran sejak beberapa tahun yang lalu.
“Kami sudah tidak mampu lagi menanggung “seksaan” kencing dan tahi kucing jiran yang berlarutan selama 5 TAHUN tanpa henti.
Memandangkan rumah kami unit corner lot, laman kami yang luas telah menjadi “tandas awam” kucing-kucing ini.”
Tambahnya, sudah pelbagai cara mereka cuba berbincang dengan jiran terbabit untuk menjaga keharmonian sejagat tetapi hanya menemui pengakhiran yang buntu.
“Kami bukan tidak berikhtiar, malah pelbagai jalan buntu telah kami lalui demi menyelamatkan rumah ini. Saya sudah cuba menegur secara bersemuka dengan baik, namun hanya dibalas dengan ‘tarik muka’ dan alasan lepas tangan bahawa mereka ‘hanya memberi makan, bukan pemilik kucing’.
“Malah, kami sanggup mengeluarkan duit sendiri membeli litter box dan pasir, serta memasang pagar tambahan yang menelan belanja lagi, namun semuanya gagal menghalang sisa najis tersebut.
“Pernah juga kami pindahkan kucing-kucing itu ke pasar, tetapi selang beberapa hari, jiran membawa pula kucing baru untuk diberi makan di situ,” keluhnya.
Selain itu, mereka itu turut berkongsi kesannya telah menjejaskan kehidupan seharian serta keperluan mengeluarkan wang poket sendiri untuk pembersihan.
“Bukan setakat hati yang sakit, poket kami juga ‘bocor’ kerana terpaksa berhabis duit membayar upah pencuci hampir setiap bulan untuk menyental bau hancing. Cat dinding luar rumah yang cantik kini luntur dan rosak akibat kesan ‘marking’ kencing yang kerap disental.
“Sudah tidak terhitung berapa banyak kasut, selipar, pasu bunga, malah pakaian yang sedang dijemur terpaksa kami buang terus kerana baunya sudah meresap dan mustahil untuk hilang. Paling meruntuhkan jiwa adalah apabila ibadah kami terganggu; hati sentiasa was-was dan terpaksa melakukan ‘deep clean’ satu rumah setiap kali terpijak sisa najis yang terbawa masuk.
“Bayangkan, penat balik kerja niat nak berehat, tapi disambut bau busuk. Malah pagi-pagi lagi mood sudah hilang kerana selipar kerja terkena kencing. Fakta yang pemilik kucing perlu faham: kucing memang tidak akan berak di tempat dia makan, sebab itulah laman rumah kami menjadi mangsanya!”
Tidak berdiam diri, ini tindakan lanjut yang telah dilakukan oleh mereka:-
“Laporan rasmi di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Kacau Ganggu) akan dibuat, lengkap dengan segala bukti rakaman CCTV serta gambar yang telah kami kumpulkan selama ini.
“Untuk makluman anda juga, bermula 1 Januari 2026, garis panduan baru KPKT akan menguatkuasakan tindakan yang lebih tegas terhadap pengurusan haiwan peliharaan; jadi jangan sangka anda boleh terus lepas tangan.
“Kami akan pastikan segala bukti ini diserahkan untuk tindakan denda sehingga RM1,000.
“Kami berpindah dengan hati yang sangat berat, dan ketahuilah, saya, suami, serta seluruh ahli keluarga tidak akan memaafkan anda dunia dan akhirat atas segala penderitaan serta ‘seksaan’ yang kami lalui selama 5 tahun ini. Jumpa kita di mahkamah Allah nanti.”
Dalam pada itu, dia sempat mengucapkan terima kasih kepada jiran-jiran yang baik sementara meminta orang ramai mengambil kisahnya ini sebagai pengajaran agar tidak terjadi lagi kes sebegini.