Pihak berkuasa Mexico, dengan kerjasama FBI, telah merampas sebuah koleksi motosikal luar biasa yang dianggarkan bernilai $40 juta (sekitar RM162 juta).
Koleksi ini dipercayai milik Ryan James Wedding, seorang bekas atlet papan salji (snowboarder) Olimpik Kanada yang kini menjadi salah seorang daripada 10 individu paling dikehendaki FBI.
Susulan penularan gambar operasi besar-besaran itu langsung meraih minat para peminat MotoGP kerana koleksinya yang luar biasa.
Apa Yang Menarik?

Koleksi ini dianggap sebagai salah satu koleksi peribadi jentera MotoGP terbesar dan paling bernilai yang pernah didokumentasikan.
Antara “harta karun” yang paling bernilai dalam koleksi tersebut termasuklah barisan jentera Ducati yang pernah ditunggang oleh nama-nama besar seperti Valentino Rossi, Jorge Lorenzo, Andrea Dovizioso, Loris Capirossi, dan Andrea Iannone.

Lebih menarik lagi, penjenayah ini turut memiliki jentera Aprilia 125cc yang digunakan Rossi semasa merangkul kejuaraan dunia pertamanya, serta motor Moto2 yang membawa Marc Marquez menjadi juara dunia pada tahun 2012.
Koleksi 50 Motor Lumba Terbiar Ditemui Dalam Garaj di Mexico
Koleksi hebat ini baru sahaja ditemui di sebuah garaj di Mexico, di mana sebanyak 50 buah motosikal perlumbaan nampaknya dibiarkan begitu sahaja tanpa dijaga dengan baik.
Pihak FBI Los Angeles menerusi media sosial memaklumkan: “Pada bulan ini, pihak berkuasa Mexico telah menjalankan beberapa waran geledah dan berjaya merampas sejumlah besar motosikal yang dianggarkan bernilai kira-kira $40 juta USD (sekitar RM162 juta).
Koleksi ini dipercayai milik Ryan James Wedding, salah seorang daripada 10 individu yang paling dikehendaki oleh FBI.”
Kejayaan rampasan ini adalah hasil kerjasama erat antara pihak berkuasa Mexico, FBI, polis Kanada (RCMP), dan juga polis Los Angeles (LAPD).
Koleksi ini dianggap sangat unik kerana jentera lumba prototaip seperti ini sepatutnya berada di muzium atau disimpan rapi oleh pengilang, bukannya berada di tangan sindiket dadah.
Kini, kesemua jentera bersejarah itu telah disita oleh pihak berkuasa sebagai bahan bukti kes pengedaran dadah dan penggubahan wang haram antarabangsa.
Siapakah Ryan Wedding?

Beliau adalah warga Kanada yang pernah bertanding di Sukan Olimpik Musim Sejuk 2002. Namun, beliau kini dituduh mengetuai organisasi pengedaran dadah antarabangsa yang menyeludup berpuluh-puluh tan kokain ke Amerika Syarikat dan Kanada.
Selain dadah, beliau juga dituduh mendalangi beberapa kes pembunuhan.
Pihak berkuasa AS kini menawarkan ganjaran sebanyak $15 juta (RM60 juta) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapannya.