Nama Hafizh Syahrin Abdullah mungkin tidak lagi perlu diperkenalkan di negara kita dengan rata-rata pasti mengenali wira sukan permotoran ini.
Pernah menjadi pelumba motosikal pertama dari Asia Tenggara beraksi dalam kelas premier MotoGP bersama nama-nama hebat dunia seperti Valentino Rossi dan Marc Maruez , Hafizh kini masih lagi beraksi dalam saingan Moto2.
Walaupun beraksi dalam kelas yang lebih rendah berbanding dua tahun sebelum ini, namun pelumba dari Malaysia itu masih lagi mampu mencuri perhatian dunia dengan aksinya ketika sesi latihan GP Perancis pada Jumaat lalu.
Ia selepas rakaman video pendek beliau menyelamatkan jenteranya daripada terbabas ketika sesi latihan itu dikongsikan kembali oleh akaun rasmi MotoGP di media sosial.
Buat anda yang tidak mengikuti sukan permotoran seperti MotoGP dan Formula 1, ianya adalah agak sukar buat pelumba dari barisan belakang untuk mendapat liputan apatah lagi ‘dipuji’ dalam media sosial mereka.
Tumpuan dan klip highlights biasanya hanya akan diberikan kepada pelumba yang berjaya menunjukkan prestasi cemerlang atau yang terlibat dalam kemalangan sahaja sebelum ini.
Sikit lagi terpijak kaki sendiri
Tambah manis, aksi super save atau menyelamatkan jentera perlumbaan yang dilakukan oleh Hafizh itu turut mendapat pujian daripada netizen luar negara.
Jika ianya datang dari peminat dalam negara, ia adalah perkara biasa tetapi dikagumi oleh peminat dari negara luar adalah sesuatu yang membanggakan terutama buat pelumba dari Asia dan Malaysia.
“Saya tidak berminat dengan jenteranya, tetapi ini sangat menakjubkan.
“Kecekapan, naluri, memori otot dan keberaniannya termasuk dalam banyak lagi kualiti yang saya sendiri tidak boleh faham. Kudos (tahniah),” komen seorang netizen luar negara di Twitter.
Seorang lagi netizen pula turut terpegun dengan kecekapan Hafizh berjaya menjinakkan jenteranya daripada melanggar kakinya sendiri ketika pergelutan tersebut berlaku.
“Berapa dekat dia hampir melanggar kakinya sendiri?” tulisnya dengan terkejut.
Malah perkara itu turut diakui sendiri oleh pihak MotoGP dengan menyifatkan apa yang dilakukan oleh Hafizh itu sebagai superhuman save dengan kuasa luar biasa.
“Superhuman save (penyelamatan luar biasa) oleh Hafizh Syahrin.
“Pelumba Malaysia ini menggunakan kuasa luar biasa untuk terus bergantung pada jentera Moto2 nya,” tulis mereka dalam kapsyen di Instagram.
Baca juga perkongsian Hafizh Syahrin sebelum ini selepas terlibat kemalangan dalam perlumbaan mengerikan yang dilalui beliau sebelum ini di pautan di bawah.
‘Tak Rasa Apa Dari Pinggang Ke Kaki’- Hafizh Syahrin Kongsi Detik Kemalangan Ngeri Di Austria