Kadang-kala kita merasa gaji yang diterima mungkin paras ala kadar namun bagi sesetengah individu lain ia merupakan satu idaman.
Seperti yang diluahkan oleh seorang wanita menerusi akaun media sosialnya, dia hanya meraih pendapatan berjumlah RM1,500 sahaja walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda.
Oleh itu, dia meletakkan harapan tinggi untuk mendapat tahap kehidupan yang lebih baik pada tahun ini memandangkan sudah menjejak usia 32 tahun.
“Tahun depan dapat capai gaji RM2000 pun okay dah tak pernah dapat gaji lebih RM1.5k. Umur tahun depan 32 dah. Ada bachelor. In shaa Allah moga Allah bagi rezeki merasa gaji RM2K 2026. Aamiin ramai ramai ,” tulisnya.
Hantaran ini langsung menarik perhatian ramai dan menerima pelbagai reaksi termasuk cadangan untuk mendapat gaji yang diidamkan dan juga refleksi terhadap realiti gaji minimum yang diterima oleh individu tertentu di kala kos kehidupan yang kian mahal.
Perkara ini agak menyedihkan kerana kerajaan Malaysia telah menetapkan paras gaji minimum terkini sudah mencapai RM1,700 tetapi masih ada syarikat memberi tawaran gaji dibawah dari standard tersebut.
“Teruskan tambah ilmu, belajar kemahiran baru, dan perbaiki diri. Bila dah ada pengalaman yang mantap, cuba cari peluang kerja yang tawarkan gaji lebih baik. Jangan takut dengan cabaran baru. Insya-Allah, rezeki takkan salah alamat.”
“”Mungkin pendapat ni tak ramai yang suka, tapi korang cubalah: Cari syarikat yang sehaluan dengan bidang ijazah korang. Masuk dulu sebagai Customer Service (CS) atau Support.
Kalau jawatan tu ada kerja syif, lagi bagus sebab gaji biasanya lebih tinggi (siap ada elaun). Kerja dulu setahun dua untuk timba ilmu, lepas tu baru minta tukar ke jabatan lain (internal transfer). Lagipun, jarang sangat gaji CS sekarang bawah RM2,500.”
“”Mungkin dah tiba masanya untuk adik cuba teroka bidang baru. Jangan takut untuk beralih arah, Insya-Allah ada rezeki yang lebih luas dan gaji RM2,000 ke atas tu bukan lagi sekadar impian.”
Selain simpati dengan nasib wanita itu, sebahagian netizen menasihatinya untuk berpindah ke tempat lain yang lebih bagus serta menambah set skil yang boleh menaikkan nilai dalam meraih gaji yang lebih tinggi.
Ada juga yang memahami akan kesukaran yang dihadapi oleh wanita itu berbuat sedemikian susulan jalan cerita kehidupan orang berbeza-beza.