Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Abdul Hakim Abdul Rani menyatakan pendapatan yang diterima oleh pemandu dan penghantar makanan atau lebih popular sebagai rider semakin menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurutnya isu tambang dan upah yang tidak adil menjadi punca, petik Harian Metro.

Daripada pengalamannya sendiri, sejak menyertai industri itu pada penghujung 2015, pendapatan pekerja gig semakin menurun walaupun tempoh bekerja semakin panjang.

Antara puncanya adalah persaingan tidak sihat dalam industri selepas pengenalan sistem bidaan (bidding) tambang. Pengguna boleh menetapkan kadar 30 peratus lebih rendah daripada tambang yang dicadangkan sesetengah syarikat pengendali e-hailing (EHO).

Dah Tak Mewah, Gaji 'Rider' Semakin Menurun
Sumber Gambar: YouTube Harian Metro

“Pendapatan kami semakin lama semakin turun dengan tahun ini paling kritikal. Dulu saya pernah jadi rider dengan meraih pendapatan kasar RM150 ke RM200 selama 12 jam sehari, tetapi kini mereka hanya mendapat RM60 dengan bekerja untuk tempoh lapan jam. Ini realiti yang kami hadapi.

“Macam e-hailing juga, dulu saya pernah dapat RM300 sehari pada 2015, sekarang walau kerja 15 ke 17 jam (sehari) belum tentu capai angka itu,” katanya dalam Podcast Harian Metro, Apa-Apa Saja di sini, baru-baru ini.

Dah Tak Mewah, Gaji 'Rider' Semakin Menurun
Sumber Gambar: Free Malaysia Today

Abdul Hakim berharap syarikat pengendali dapat memberikan tambang yang adil buat semua penggerak pekerja gig tersebut.

“Bayangkan dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) RM35 sedangkan perkhidmatan kami pintu ke pintu dan kos ditanggung kami 100 peratus.

“Kami tidak mahu tambang tinggi. Kami mahu tambang yang adil dan berbaloi dengan servis dan kos pekerjaan.

“Kami juga faham peranan EHO dan syarikat pengendali p-hailing (PHO). Tanpa mereka, kami pun tiada kerja tetapi biarlah industri ini lebih sihat dan adil,” katanya.

Sumber