Figura hebat Croatia, Luka Modric menamakan Jose Mourinho sebagai pengurus paling ‘keras’ yang pernah membimbingnya sepanjang karier gemilang dinikmati beliau.
Ia jelas dibuktikan apabila Modric turut mendakwa pengendali legenda itu begitu tegas sehingga pernah membuat Cristiano Ronaldo menangis di bilik persalinan Real Madrid.
Baca Juga:
- Fenerbahce Terima Surat Tagihan Hutang Hotel RM3.6 Juta Ditinggalkan Mourinho

- Betul Kata Mourinho, Liga Turkiye Sedang Busuk Kerana Pengadil, 371 Pengadil Terlibat Perjudian

- Presiden Fenerbahce Dedah Sebab Sebenar Pemecatan Jose Mourinho

Pemain tengah yang kini beraksi bersama AC Milan pernah bekerja di bawah kendalian beberapa jurulatih bertaraf dunia sepanjang kariernya, namun beliau melabelkan pengendali dari Portugal tersebut sebagai paling tegas antara mereka semua.
Modric sempat berada dibawah kendalian Mourinho selama semusim dimana ketika beliau direkrut dari Tottenham Hotspur pada Ogos 2012 dengan yuran perpindahan bernilai £26 juta.
Pendapat Modric Tentang Mourinho
“[Dia seorang yang] istimewa. Sebagai jurulatih dan juga sebagai individu. Dialah yang mahukan saya ke Real Madrid,” ujar Modric menurut sumber laporan Goal.
“Tanpa Mourinho, saya tidak akan pernah tiba di sana. Saya kesal kerana hanya berpeluang bekerja dengannya selama satu musim.”
“Saya pernah melihat dia (Mourinho) membuatkan Cristiano Ronaldo menangis di bilik persalinan, iaitu seorang pemain yang sentiasa memberikan segalanya di atas padang.”
“[Ronaldo menangis] hanya kerana pada satu ketika dia tidak mengejar bek sisi lawan. Mourinho sangat berterus terang dengan pemain, tetapi dia jujur.”
“Dia melayan Sergio Ramos dan pemain baharu dengan cara yang sama. Jika ada sesuatu yang perlu diberitahu, dia akan mengatakannya.”
“Kejujuran adalah asas utama,” tambah beliau lagi.