Cristiano Ronaldo pastinya menyimpan banyak memori indah bersama mendiang Diogo Jota terutamanya ketika menyarung jersi skuad kebangsaan Portugal.
Dua individu yang berbeza usia lebih satu dekad itu sama-sama berjuang demi Portugal yang mengecapi nikmat muncul juara UEFA Nations League 2018/19 dan 2024/25.
Baca Juga:
- Diogo Jota: Kisah Perginya Sang Moden Poacher Dan ‘Clutch Player’

- Terkini: Diogo Jota Dilaporkan Meninggal Dunia, Terlibat Dalam Kemalangan
- ‘Saya Tak Meragui Ronaldo, Dia Beraksi Tidak Seperti Pemain Berusia 39 Tahun’ – Martinez

Berita pemergian Jota yang cukup tragis pada 3 Julai lalu turut memberikan kesan amat mendalam kepada Cristiano Ronaldo.
Namun, ketiadaannya ketika majlis pengkebumian Jota dan adiknya, Andre Silva mencetuskan pelbagai kritikan, spekulasi dan persoalan dalam kalangan peminat dan pemerhati.

Ramai tertanya-tanya, mengapa figura terpenting bola sepak Portugal itu tidak hadir memberi penghormatan terakhir buat mendiang yang begitu mengidolakannya.
Pemenang lima ballon D’or itu bagaimanapun mempunyai alasan beliau yang tersendiri untuk tidak berada di Gondomar, Portugal.
Difahamkan keputusan itu dibuat sebagai tanda penghormatan apabila Cristiano Ronaldo merasakan kehadirannya mungkin akan menenggelamkan suasana sebenar majlis perpisahan tersebut.
Susulan dengan perkara tersebut, kakak Cristiano Ronaldo, Katia Aveiro tampil untuk menjelaskan sebab adiknya tidak hadir ke upacara pengebumian tersebut.
“Ketika ayah saya meninggal dunia, selain kesedihan kerana kehilangan, kami juga terpaksa berdepan dengan limpahan kamera dan orang ramai yang ingin tahu di tanah perkuburan dan di mana sahaja kami berada.”

“Dan ketika itu, perhatian media belum seteruk sekarang dari segi akses,” ujar kakak Cristiano Ronaldo itu di laman Instagramnya dipetik laporan Goal.
“Pada ketika itu, kami (anak-anak) langsung tidak dapat keluar dari kapel (gereja kecil atau ruang khas untuk upacara) hanya ketika pengebumian berlangsung barulah kami dibenarkan keluar, kerana suasana yang begitu sesak dan kacau.”
“Di pengebumian itu, terdapat presiden Portugal, jurulatih pasukan kebangsaan ketika itu seperti Luís Filipe Scolari dan lain-lain.”
“Tapi saya tidak ingat melihat mana-mana daripada mereka. Dan mereka pasti menyapa saya. Tapi kesedihan ketika itu membutakan saya.”

“Tentang kesedihan, keluarga, dan sokongan sebenar. Anda tidak akan pernah benar-benar faham apa ertinya sehinggalah anda sendiri melaluinya.”
“Jika ada sesiapa yang menghantar mesej kepada saya untuk mengkritik apa sahaja yang dilakukan oleh adik saya, saya akan sekat serta-merta (benar-benar abaikan). Maksudnya, mereka hanya akan buat sekali sahaja.”
“Saya semakin penat. Fanatisme ini. Kritikan yang langsung tiada asas, saya ulang, tiada asas. Masyarakat yang sakit. Kita semua ada keluarga.”
“Terlalu memalukan apabila melihat saluran TV, pengulas dan media sosial lebih memberi tumpuan kepada ‘ketiadaan seseorang’ daripada menghormati kesedihan sebuah keluarga yang sedang hancur kerana kehilangan dua insan tersayang.

“Saya sendiri rasa malu untuk menonton. Ia memang sangat menyedihkan.”
“Dan begitulah dunia ini. Masyarakat dan pendapat. Hari ini, semua itu tiada nilainya. Mereka sendiri telah menjadi lubang gelap yang tiada dasar,” tambah beliau lagi.
Kerisauan Cristiano Ronaldo Ada Asasnya
Seperti dilaporkan Berita Harian, hanya beberapa jam selesai upacara tersebut, ribuan peminat mula membanjiri kawasan perkuburan mendiang Jota disemadikan hingga memaksa campur tangan pihak polis.
Suasana di situ juga kecoh apabila terdapat individu tidak bertanggungjawab mengambil gambar berhampiran batu nisan, malah ada yang mencangkung dan merakam imej dari jarak dekat.