Ketua pasukan skuad kebangsaan Portugal, Cristiano Ronaldo bakal menandatangani kontrak baharu bersama kelab Liga Pro Saudi, Al-Nassr yang mana menyaksikan beliau mendapat banyak kelebihan bersama kelab itu.

Menurut laporan Daily Mail, Ronaldo bakal menerima gaji baharu iaitu sebanyak £167.9 Juta, sekaligus menjadikan beliau sebagai pemain bola sepak dengan gaji tertinggi di dunia.

Baca Juga:

Ketika menyertai Al-Nassr pada 2023, bintang berusia 39 tahun itu mendapat gaji sebanyak £164 Juta setiap musim, ditambah dengan pendapatan dari perniagaan di luar bola sepak sebanyak £49 Juta.

Selain itu, pihak pengurusan kelab berpuas hati dengan impak yang dibawakan oleh Ronaldo dan mereka akan menjadikan bekas pemain Juventus dan Real Madrid itu sebagai pemilik kelab.

Ronaldo dilaporkan telah ditawarkan peluang untuk mengambil sebanyak lima peratus kepentingan dalam pasukan Liga Pro Saudi itu.

Tawaran itu diberikan selepas Al-Nassr akan menjalankan perubahan dari segi struktur, dengan presiden dan ketua pegawai eksekutif baharu akan dilantik dalam beberapa bulan akan datang.

Al-Nassr adalah satu daripada empat pasukan yang dimiliki oleh Public Investment Fund, syarikat milik kerajaan Arab Saudi yang mempunyai 75 peratus kepentingan dalam kelab itu selain pesaing utama seperti Al-Ittihad, Al-Ahli dan Al-Hilal.

Dalam kontrak baharu, Cristiano Ronaldo akan memperoleh gaji sebanyak £3.19 Juta seminggu dan sekiranya dipecahkan lagi, beliau memperoleh £419,800 sehari – dan £291 seminit yang mana jumlah ini amat mengejutkan.

Ronaldo telah menampilkan prestasi cemerlang bersama kelab dari Riyadh itu, menjaringkan 75 gol dalam 84 perlawanan setakat ini. Akan tetapi, setakat ini Ronaldo hanya memenangi satu kejuaraan iaitu kejuaraan Kelab Arab 2023.

Sebelum ini, pengurus pasukan iaitu Stefano Piolli mendedahkan sebab mengapa Ronaldo mendapat layanan istimewa dari Al-Nassr.

“Jika saya sampai setengah jam lebih awal, dia sudah ada 25 minit lebih awal,” ujar Pioli menurut sumber laporan Goal.

“Dia sentiasa yang pertama menaiki bas. Dia seorang yang mementingkan kesempurnaan dan mengharapkan banyak perkara daripada dirinya sendiri dan orang lain.”

“Dia hidup untuk pasukan, dia membantu, dia memberi nasihat. Kadang-kadang saya biarkan dia bercakap dengan pemain. Saya tidak boleh layan dia seperti yang lain, tetapi dia bijak dan menghormati peranannya dan peranan saya.”