Pengurus Al-Nassr, Stefano Pioli mendedahkan sebab mengapa tonggak pasukan, Cristiano Ronaldo mendapat layanan istimewa di kelab tersebut.

Pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali itu mencuri tumpuan dunia selepas memilih untuk berkelana ke Asia Tengah pada 2023.

Baca Juga:

Selepas hampir tiga musim bersama Al-Nassr, Ronaldo sudah menjaringkan 80 gol dalam 89 penampilan setakat ini dalam usahanya untuk memburu rekod 1,000 gol dalam kariernya.

Walaupun usianya hampir mencecah 40 tahun pada 5 Februari nanti, Ronaldo jelas menjadi inspirasi di Arab Saudi dengan kegigihan dan disiplin tinggi dalam mengekalkan prestasi beliau di tahap terbaik.

Hakikat itu turut diakui sendiri Pioli yang mula membimbing Al-Nassr pada 18 September 2024 bagi menggantikan pengendali terdahulu, Luis Castro.

“Jika saya sampai setengah jam lebih awal, dia sudah ada 25 minit lebih awal,” ujar Pioli menurut sumber laporan Goal.

“Dia sentiasa yang pertama menaiki bas. Dia seorang yang mementingkan kesempurnaan dan mengharapkan banyak perkara daripada dirinya sendiri dan orang lain.”

“Dia hidup untuk pasukan, dia membantu, dia memberi nasihat. Kadang-kadang saya biarkan dia bercakap dengan pemain. Saya tidak boleh layan dia seperti yang lain, tetapi dia bijak dan menghormati peranannya dan peranan saya.”

Dalam pada itu, Pioli turut membandingkan Ronaldo dengan legenda Sweden yang pernah dibimbing olehnya iaitu Zlatan Ibrahimovic.

“Mereka mempunyai watak yang berbeza. Ibra agak tergesa-gesa dan mempunyai personaliti yang dominan. Cristiano adalah legenda, dia global, sangat besar. Dia mempunyai seribu gol rasmi dalam fikirannya. Dia akan menjaringkannya, dia tidak jauh lagi.”

Sumber