Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, tampil mempertahankan prestasi pasukannya walaupun terpaksa berpuas hati dengan sekadar seri dengan Chelsea 1-1 di tempat sendiri.
Guardiola turut mengingatkan wartawan bahawa Chelsea adalah juara dunia yang harus dihormati walaupun mereka tanpa pengurus tetap ketika ini selepas Enzo Maresca dipecat.
Bercakap kepada BBC Match of the Day, Guardiola menolak pandangan bahawa City kehilangan kawalan permainan yang membolehkan Chelsea menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua.
“Saya tidak bersetuju [anda kata] kami hilang kawalan. Mereka menjaringkan gol dan sebab itu orang menganalisis keputusan.
“Ya, mereka lebih agresif dalam pressing dan kami kehilangan bola dua kali pada awal separuh masa kedua,” kata Guardiola.
Menurut Guardiola, perubahan intensiti Chelsea tidak bermakna City gagal mengawal permainan secara keseluruhan, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada dinamika perlawanan melibatkan dua pasukan elit.
Chelsea Bukan Pasukan Biasa Tetapi Juara Dunia
Guardiola turut mengingatkan bahawa Chelsea bukan pasukan yang boleh dipandang rendah, dengan barisan pemain bertaraf dunia yang dimiliki kelab London tersebut.
“Chelsea adalah pasukan juara dunia. Itu bukan pemain-pemain akademi. Mereka pemain kelas atasan.
“Sangat, sangat sukar untuk mengawal permainan selama 90 minit menentang pasukan seperti itu,” tambah beliau.
City sebenarnya mempunyai beberapa peluang keemasan untuk menamatkan perlawanan, terutamanya dalam situasi serangan balas di separuh masa kedua.
“Kami ada empat atau lima situasi dua lawan satu atau tiga lawan dua. Pemain berbakat kami cuba menghabiskan perlawanan, tetapi kami gagal melakukannya.”
Statistik Memihak City, Namun Ketumpulan Punca Keciciran Mata
Guardiola mengakui bahawa aspek paling mengecewakan adalah keberkesanan di zon serangan, walaupun prestasi keseluruhan pasukan dianggapnya sangat baik.
Keputusan seri ini mungkin sedikit mengecewakan buat penyokong City, namun bagi Guardiola, prestasi pasukannya masih berada pada tahap yang tinggi — cuma penyudah yang membezakan kemenangan dan seri.
“Apabila kita bercakap tentang statistik, satu perkara penting adalah keberkesanan di final third. Secara keseluruhan, cara kami bertahan, berlari dan bermain adalah luar biasa.”
Jurang Enam Mata, Fokus Perlawanan Seterusnya
Mengulas mengenai jurang enam mata di puncak liga, Guardiola kekal tenang dan optimis, sambil menegaskan fokus pasukan kini adalah mendapatkan semula pemain yang cedera.
“Kami akan pulihkan semula pemain kami dan kita lihat apa yang berlaku pada hari Rabu.”