Dua individu maut dalam satu kemalangan jalan raya, termasuk pemandu Nissan GT-R, selepas kenderaan tersebut hilang kawalan di kawasan perumahan di Jalan Dedap 1, Taman Johor Jaya, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Sohaimi Ishak berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 3.20 petang itu melibatkan empat buah kenderaan, petik New Straits Times.
Baca Juga:
- Bawa ‘Awek’ Jalan Naik GT-R Sewa, Akhirnya Kereta Disita JPJ

- Tak Perasan ‘Roadtax’ Mati, JPJ Perlis Sita Nissan GT-R Milik Ahli Perniagaan Dari Kedah

- ‘Sayonara’ – Unit Terakhir Nissan GT-R R35 Siap Keluar Dari Kilang

Menurutnya, kenderaan yang terlibat ialah sebuah Nissan GT-R, sebuah Kia Picanto dan dua buah Perodua Axia.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila Nissan GT-R yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah Kia Picanto yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 58 tahun serta dua buah Perodua Axia yang masing-masing dipandu lelaki tempatan berusia 30 dan 29 tahun.
“Kenderaan tersebut kemudiannya terbabas ke bahu jalan sebelah kanan,” katanya.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu Nissan GT-R mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu Perodua Axia berusia 30 tahun turut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).
“Empat mangsa lain mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di HSI,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengamalkan pemanduan selamat dan mengutamakan keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
“Patuhi had laju dan pastikan jarak keselamatan sentiasa dijaga. Sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan kepada pihak polis di talian 07-386 4222,” katanya.