Pelawak Maharaja Lawak, Shahmira Muhammad yang lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan mempromosikan produk rokok elektronik (vape) di saluran podcast miliknya, Dol’s Podcast, dua tahun lalu.
Hukuman itu dijatuhi Majistret Ezrene Zakariah selepas Shuib sebagai penerbit program mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan, petik Harian Metro.
Selaku orang kena saman (OKS), mahkamah mengarahkan Shuib dipenjara setahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Shuib didakwa mengikut Seksyen 9(3) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9(3)(a)(i) akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-keduanya jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa KKM, Kua Ah Kiong meminta hukuman setimpal mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi OKS yang jelas melanggar Akta 852.
Tambahnya lagi, OKS adalah pelawak terkenal dan tindakan mempromosikan produk itu boleh menjadi ikutan dan mempengaruhi orang ramai terutama pengikutnya.
Namun peguam Ahmad I’zzudin Ahmad Nadzri yang mewakili Shuib memohon hukuman denda paling minimum.
Jelas beliau anak guamnya sudah mengeluarkan siaran promosi terbabit daripada Youtube, serta OKS juga menyedari kesalahan itu dan sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan.
Dalam masa sama, mahkamah turut menjatuhkan hukuman sama ke atas pengarah syarikat Bangsawan Distribution Sdn Bhd yang juga pemilik Soundvape, Mohd Redzuan Hamizan Rahim, 33, turut mengaku bersalah menaja promosi produk tembakau itu di Dol’s Podcast.