Rakyat Malaysia menunjukkan tahap keyakinan yang luar biasa terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) berbanding negara lain di peringkat global.
Menurut tinjauan terbaru daripada Ipsos yan dilaporkan oleh Malay Mail, seramai 67% rakyat Malaysia percaya bahawa AI akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan pada tahun 2026.
Angka ini jauh lebih tinggi berbanding purata dunia yang masih berbelah bahagi antara bimbang dan yakin terhadap impak teknologi tersebut ke atas pasaran buruh.
Mengapa Malaysia Begitu Yakin?
Faktor utama yang mendorong semangat “techno-optimism” ini adalah kepantasan Malaysia dalam mengadaptasi teknologi tersebut. Beberapa perkara penting yang dinyatakan oleh Ipsos termasuk:-
Penggunaan AI Semakin Laju: Teknologi AI di Malaysia bukan lagi perkara asing. Penggunaannya meningkat sangat cepat, iaitu sekitar 35% setiap tahun. Ini bermakna lebih banyak syarikat mula menggunakan AI dalam urusan harian mereka.
Ekonomi yang Stabil: Menurut bos Ipsos Malaysia, Arun Menon, keadaan ekonomi dan dasar kerajaan yang baik membuatkan rakyat rasa lebih selamat.
Hal ini kerana orang ramai tidak lagi nampak AI sebagai “perampas kerja,” tetapi lebih kepada “pembantu” yang memudahkan urusan kerja kita.
Cipta Kerja Hebat: Rakyat Malaysia percaya AI tidak akan menghapuskan kerja secara keseluruhan.
Sebaliknya, ia dilihat sebagai pemangkin yang akan mewujudkan jawatan baharu yang lebih canggih dan memerlukan kemahiran yang lebih tinggi.
Arun Menon menyatakan bahawa rakyat Malaysia melangkah ke tahun 2026 dengan keyakinan yang lebih tinggi.
Semangat positif ini didorong oleh pelbagai inisiatif sokongan kerajaan seperti sumbangan SARA dan BUDI MADANI, kedudukan nilai Ringgit yang lebih kukuh, serta kejayaan Malaysia penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN pada tahun 2025.
Faktor-faktor ini bukan sahaja mengukuhkan ekonomi negara, malah memberi jaminan kepada pertumbuhan jangka masa sederhana yang lebih stabil.
Selain itu, teknologi AI dijangka akan mempercepatkan peralihan teknologi negara selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 bagi meningkatkan produktiviti.
Tinjauan ini turut mendedahkan bahawa 82% rakyat Malaysia percaya tahun 2026 akan menjadi lebih baik berbanding tahun sebelumnya, dengan tahap keyakinan jangka panjang mencecah 77%.
Secara keseluruhannya, rakyat Malaysia percaya bahawa gabungan teknologi dan dasar kerajaan yang inklusif mampu memacu pertumbuhan ekonomi, meskipun berdepan dengan cabaran ketegangan perdagangan global dan ketidaktentuan geopolitik dunia.