Bekas pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane telah berkongsi sedikit pandangan mengenai rahsia kejayaannya sewaktu membimbing Los Blancos.
Pengendali dari Perancis itu memenangi trofi UEFA Champions League (UCL) sebanyak tiga kali sepanjang tempohnya di Santiago Bernabeu, selain turut merangkul dua kejuaraan La Liga.
Baca Juga:
- Zidane Beri Bayangan Semakin Hampir Kembali Bergelar Pengurus

- Zidane Anggap Kelab Ini Sama Taraf Dengan Kehebatan Real Madrid

- Zidane Dedah Nama 3 Pemain Yang Buat Dirinya Teruja Setiap Kali Mereka Menyentuh Bola

Ketika ini, Madrid sedang melalui musim yang sukar selepas memecat Xabi Alonso di pertengahan musim pertamanya sebagai ketua jurulatih, sebelum melantik Alvaro Arbeloa sebagai pengganti.
Formula Cemerlang Zidane Di Real Madrid
“Di Real Madrid, kami ada untuk para pemain. Bagi saya, itulah yang menjadikan sesuatu pasukan itu kuat. Anda wujud untuk pemain,” ujar Zidane menurut sumber laporan Goal.
“Jika anda tidak memahami perkara ini, anda tidak akan mampu bertahan lama dalam profesion ini. Kami berada di sini untuk menyokong mereka. Anda perlu menunjukkan bahawa anda benar-benar ada untuk mereka.”
“Untuk memastikan bilik persalinan menerima dan menyokong apa yang ingin anda laksanakan, para pemain perlu menyukai kami.”
“Jika pemain tidak bersetuju sepenuhnya dengan segala yang anda perkenalkan mengenai latihan dan semua perkara lain, ia pasti akan ada sesuatu yang tidak lengkap.”
“Bersama kami [barisan kejurulatihan ketika Zidane sebagai pengurus], mereka benar-benar menikmati pengalaman itu dari semua sudut, pada pandangan saya.”
“Kami menyuntik keyakinan yang tinggi kepada para pemain. Mereka sebelum itu melalui satu tempoh yang agak sukar dan perlu mendapatkan semula keyakinan, kecergasan dan segalanya.”
“Kami mewujudkan satu kerangka yang membolehkan mereka mendapatkan semula semua perkara tersebut. Apabila seseorang pemain berada dalam keadaan kompetitif, gembira untuk berlatih dan turun bermain dalam perlawanan, anda hampir pasti akan memenangi ketiga-tiga gelaran Liga Juara-Juara,” tambah Zidane lagi.