Legenda bola sepak dunia, Zinedine Zidane melihat hanya satu kelab Eropah yang sama taraf dengan kehebatan Real Madrid dan kelab tersebut bukanlah Barcelona atau Paris Saint-Germain (PSG).

Zidane seperti diketahui mempunyai reputasi yang cukup besar buat Real Madrid sebagai pemain dan juga pengurus.

Baca Juga:

Nama beliau kian melonjak selepas beliau menyertai Real Madrid pada musim 2001/02 dan pantas menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan kemudiannya ketika bergelar pengurus, tiga kejuaraan UCL berturut-turut berjaya dihadiahkannya.

Melihatkan kepada pencapaian hebat dikecapi Real Madrid sepanjang zaman, beliau melihat hanya Bayern Munich sahaja mampu berada sama tahap dengan Los Blancos.

Bayern Munich Di Mata Zidane

Hakikat itu disuarakan oleh salah seorang sahabat baik Zidane seperti dilaporkan portal ternama di dunia, Sport Bible.

“Dia [merujuk kepada Zinedine Zidane] melihat Bayern seperti Real Madrid. Sebuah institusi, kelab dengan sejarah gemilang dan keadaan kerja yang sangat baik.”

“Kedua-dua kelab ini mempunyai banyak persamaan dari segi cara mereka beroperasi. Dalam hal ini, dia tidak pernah menolak idea tersebut.”

“Zizou bekerja seperti orang Jerman iaitu dengan berorientasikan matlamat, tersusun dan sangat teliti terhadap sebarang butiran.”

“Dalam hal ini, dia sudah pasti akan sesuai. Tetapi jika pihak pengurusan Munich mahu membawanya masuk, mereka mesti memberinya kuasa dalam aspek sukan dan memenuhi kehendaknya,” tambah sumber tersebut lagi.

Nama pemenang Piala Dunia 1998 itu sebelum ini pernah dikaitkan dengan Bayern Munich tetapi beliau menafikannya dan Vincent Kompany dipilih untuk membimbing kelab tersebut bermula musim lalu.

Sumber