Sudah berehat hampir empat tahun, Zinedine Zidane masih belum berhasrat untuk kembali ke bidang kejurulatihan selepas kali terakhir membimbing Real Madrid pada penghujung musim 2020/21.

Seperti diketahui umum, Zidane telah mengecapi pelbagai kejuaraan ketika membimbing Los Blancos dimana ia merupakan pasukan senior pertama dan terakhir dibimbing olehnya.

Baca Juga:

Memulakan tugas pada 4 Januari 2016 hingga 30 Jun 2018 pada fasa pertamanya, beliau kembali membimbing Real Madrid pada 11 Mac 2019 hingga 30 Jun 2021.

Sepanjang tempoh tersebut, Zidane telah menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebanyak tiga kali (2015/16, 2016/17 dan 2017/18).

Selepas meninggalkan Real Madrid, nama beliau sering kali dikaitkan dengan jawatan kosong di Paris Saint-Germain (PSG), Bayern Munich, Juventus dan Manchester United.

Namun, ia hanyalah spekulasi dan Zinedine Zidane jelas tidak terbuka hatinya untuk menerima tawaran kelab-kelab tersebut.

Hal ini kerana hanya dua pasukan sahaja ingin dibimbing oleh sosok tubuh yang kini menjengah usia 52 tahun itu.

Dua pasukan yang dimaksudkan menurut sumber laporan Goal ialah Real Madrid dan skuad kebangsaan Perancis. Dua pasukan yang nyata cukup sinonim dengan beliau terutamanya ketika bergelar pemain.

Dengan Real Madrid dikatakan lebih berminat untuk mendapatkan khidmat Xabi Alonso bagi menggantikan Carlo Ancelotti serta kontrak Didier Deschamps hanya akan tamat selepas Piala Dunia 2026, Zidane akan terus menunggu peluangnya untuk kembali membimbing pasukan.

Selain itu, Zidane juga merupakan pemegang saham bagi pasukan saingan Ligue 2, Rodez Aveyron FC.

 

Sumber