Adakah ‘syurga di bawah tapak kaki ibu’ kini mempunyai tanda harga? Fenomena anak-anak universiti dijadikan ‘mesin ATM’ oleh ibu bapa sendiri semakin membimbangkan, apatah lagi apabila sentimen agama dijadikan senjata untuk memancing rasa bersalah.
Pelajar yang sepatutnya fokus menggenggam segulung ijazah kini terpaksa memikul dosa yang dicipta oleh manipulasi emosi.
Seorang penuntut universiti wanita telah meluahkan kisah dilema yang dihadapi olehnya apabila ibu kandungnya sering meminta wang sehingga membebankan kehidupan peribadi.
Menerusi tangkap layar yang dikongsikan, emaknya akan meminta wang berulang kali tanpa mengendahkan keperluan asas hidup anaknya asalkan permintaan dipenuhi.

Jika tidak diberikan, mulalah emaknya memainkan sentimen agama dengan hasrat boleh memanipulasi emosi anak perempuannya itu.

Yang paling menyayat hati, sisa wang terakhir anak mahu gunakan untuk makan sekalipun diminta habis-habisan dan masih memberi komen sinis ia bagus untuk menguruskan badan dek kerana dia berbadan gempal.
“Dia siap body shame saya lagi.. Saya cakap kat dia, kalau saya bagi duit tu nanti saya pula yang tak ada duit nak makan. Tapi dia boleh jawab, ‘Tak apa, bagi kurus sikit.’ Memandangkan saya ni berbadan chubby, bila dengar mama cakap macam tu, saya terus rasa give up (patah hati) dan akhirnya bagi saja duit tu.”

Tidak cukup sekadar itu, Difahamkan emaknya turut memuat naik hantaran status di WhatsApp yang berniat mengejek yang mana ditulis “susah mak ayah kalau ada anak kedekut ni”.
Kehidupannya bertambah sukar apabila kedua-dua penjaga sepatut menjadi payung buatnya malah dikelilingi hutang yang banyak ditambah pula gaya hidup emaknya yang mahu tayang hidup mewah dengan berhutang.
Kisah ini sangat meruntun hati netizen dan rata-ratanya meminta wanita itu untuk tidak menurut sahaja segala kehendak ibunya tanpa memikirkan kebajikan diri sendiri.
Malah, ada seorang netizen tampil meminta wanita berkenaan untuk menghubungi kerana mahu membantu meringankan beban yang dialami.