Cristiano Ronaldo akhirnya menang dalam pertarungan yang agak panjang dengan Juventus berhubung dengan kes gaji yang tidak dibayar atau tertunggak.

Pemain berusia 40 tahun itu merupakan salah seorang pemain paling berpengaruh dalam sejarah bola sepak, dan kerjayanya yang gemilang termasuk tempoh tiga tahun bersama kelab dari Turin itu, di mana beliau memenangi dua gelaran Scudetto, satu Coppa Italia dan dua Piala Super Itali.

Namun begitu, tempoh tersebut turut dicemari oleh pandemik COVID-19, yang memaksa Juventus mengambil langkah drastik — keputusan yang akhirnya memakan diri mereka sendiri.

Cristiano Ronaldo sekali lagi mengalahkan Juventus di mahkamah

Dalam dua musim yang terjejas akibat COVID-19, gergasi Turin itu mencapai persetujuan dengan para pemain mereka, yang bersetuju untuk melepaskan empat bulan gaji bagi membantu kelab mengurangkan krisis kewangan akibat pandemik.

Namun, kemudian terbongkar bahawa beberapa pemain, termasuk Ronaldo, sebenarnya tidak benar-benar bersetuju untuk pemotongan gaji, sebaliknya dijanjikan bayaran gaji tersebut akan ditangguhkan ke tahun kewangan berikutnya.

Oleh itu, apabila Juventus enggan membayar baki gaji Ronaldo, beliau memutuskan untuk membawa kelab itu ke mahkamah.

Pada April 2024, sebuah tribunal timbang tara memutuskan memihak kepada bintang Portugal itu, dan mengarahkan Juventus membayar kira-kira €9.7 juta, walaupun Ronaldo pada asalnya menuntut sekitar €19 juta.

Selepas bayar, Juve nak tuntut balik

Juventus kemudiannya membuat rayuan terhadap keputusan tersebut, sambil meminta mahkamah mendapatkan semula jumlah wang yang telah dibayar kepada pemain itu.

Namun menurut laporan La Repubblica (melalui Tuttosport), keputusan muktamad sekali lagi memihak kepada penyerang legenda tersebut.

Juventus gagal mendapatkan semula €9.8 juta yang dibayar kepada CR7

Mahkamah Rayuan bukan sahaja mengekalkan keputusan asal, malah turut mengarahkan Juventus membayar €80,000 sebagai kos guaman. Menjadikan nilai keseluruhan adalah €9.8 juta.

Juventus sebelum ini sudah menanggung kerugian besar akibat apa yang digelar sebagai ‘manipulasi gaji’ dalam siasatan yang dikenali sebagai kes ‘Prisma’ oleh media Itali, yang turut berkait rapat dengan kes ‘Plusvalenza’ (keuntungan modal).

Kedua-dua kes undang-undang ini membelenggu kelab tersebut antara 2021 dan 2023, sehingga membawa kepada peletakan jawatan serta penggantungan bekas presiden Juventus, Andrea Agnelli, bersama beberapa pegawai tertinggi kelab, selain hukuman potongan 9 mata dalam kempen Serie A musim 2022/23.