Siapa sangka, jerawat yang dianggap kecil dan remeh boleh menjadi asbab kehilangan orang tersayang.
Baru-baru ini, tular sebuah kisah yang sangat menyedihkan dari negara jiran, Indonesia, tentang seorang isteri yang kehilangan suaminya hanya kerana tindakan memicit jerawat.
Niat Bergurau Menjadi Duka
Kisah yang dikongsi oleh akaun TikTok @burhansyfq1 ini bermula apabila pasangan suami isteri yang sedang menjalani hubungan jarak jauh (PJJ) bertemu kembali selepas si suami pulang bercuti.
Dalam suasana gembira bermesra, si isteri secara berseloroh memicit jerawat yang ada di bahagian hidung suaminya.
Bagi kebanyakan kita, memicit jerawat mungkin nampak seperti perkara biasa untuk menghilangkan rasa tak selesa, namun kali ini ia berakhir dengan tragedi.
Simptom Merosot Dengan Pantas

Kesan daripada tindakan itu muncul dengan sangat cepat. Keesokan harinya, si suami mula mengalami sakit kepala yang melampau serta demam panas yang tidak surut dan bengkak kemerahan di kawasan hidung.
Apa yang lebih menakutkan, rasa sakit itu merebak sehingga ke bahagian belakang kepala. Apabila dibawa ke hospital, ujian doktor mendedahkan terdapat pembekuan darah di dalam hidung yang mencetuskan pendarahan hebat sehingga ke pembuluh otak.
Apa Itu ‘Segitiga Kematian’ (Danger Triangle of the Face)?
Doktor menjelaskan bahawa jerawat tersebut terletak di kawasan sensitif yang dipanggil “Segitiga Kematian”. Kawasan ini merangkumi bahagian hidung hingga ke sudut bibir kiri dan kanan.
Kenapa ia bahaya? Saluran darah di kawasan ini mempunyai kaitan terus dengan otak. Apabila jerawat dipicit dan berlaku jangkitan kuman, kuman tersebut boleh masuk ke dalam sistem saraf pusat dengan sangat pantas.
“Dunia Seakan Terhenti…”

Walaupun pembedahan kecemasan telah dilakukan, takdir menentukan segalanya. Dua hari selepas pembedahan, si suami disahkan meninggal dunia.
Si isteri yang menanggung rasa ralat dan sedih yang mendalam berharap agar kisah ini menjadi pengajaran buat semua orang.
“Semoga kisah ini jadi pengajaran agar kita jangan sembarangan mengendalikan masalah kesihatan. Cari maklumat dulu sebelum bertindak,” tulisnya dalam nada sayu.