Satu jenama pelekat jerawat tempatan mengkritik tindakan pengguna yang tamak kerana mengambil kesempatan atas masalah aplikasi penghantaran baru-baru ini.

Tindakan pengguna yang tamak itu telah menyebabkan jenama pelekat jerawat mengalami kerugian lebih RM1 juta dalam masa 24 jam.

“Kami kerugian lebih daripada RM1,000,000 hari ini akibat kesilapan yang bukan berpunca daripada pihak kami.

“Disebabkan masalah teknikal pada aplikasi, produk kami telah dipaparkan sebagai percuma di GrabMart, dan ramai pengguna telah mengambil kesempatan daripada isu tersebut,” luah kekecewaan jenama tersebut.

Difahamkan ada pengguna yang membuat pesanan sehingga mencecah RM1,000 nilai barangan, semata-mata untuk mengambil kesempatan daripada masalah teknikal tersebut.

Ada pengguna ajak orang lain turut serta

Lebih mengeruhkan keadaan, ada yang memuat naik di media sosial mengajak orang lain untuk ‘claim percuma’ dan menyalahgunakan sistem itu sebelum aplikasi tersebut sempat dibaik pulih.

“Rider dilihat beratur di luar stor farmasi, menghantar pesanan bernilai antara RM70 hingga RM1,000 ke alamat pelanggan — semuanya secara percuma akibat ralat sistem tersebut.

“Di media sosial pula, ramai pengguna dilihat berdoa agar pesanan mereka tidak dibatalkan, seolah-olah tiada rasa bersalah langsung terhadap situasi itu.

“Memang menyedihkan untuk dilihat. Soalnya sekarang — siapa yang akan menanggung kerugian ini? Dan bagaimana pula dengan para rider yang bergantung pada pekerjaan ini untuk menyara keluarga mereka?” soalnya.

Jenama pelekat jerawat itu berasa sangat sedih apabila memikir mana-mana perniagaan kecil pun boleh menjadi mangsa situasi macam sebegini.

Tetapi lebih menyedihkan apabila ada pengguna sendiri tamak, ambil kesempatan daripada masalah teknikal sebegini.

“Ia ibarat melihat seorang lelaki pengsan di jalan, dompetnya terjatuh, dan anda ambil semua duit dalamnya sebelum berlalu pergi.

“Kadang bukan sistem yang rosak — tetapi moral manusia yang goyah,” tegas jenama tersebut.