Aktor Hong Kong, Kent Cheng cukup dikenali di Malaysia sekitar penghujung 90an dengan watak ‘Fei Mao’ yang dimainkannya dalam drama popular, The Forest Cat.

Drama tersebut mengisahkan tentang lelaki kelainan upaya (OKU), Fei Mao yang tinggal bersama ibunya. Mereka hidup serba sederhana dengan ibunya bekerja sebagai penjual mee ayam.

Selepas kejayaan besar drama tersebut, watak Fei Mao kekal terpahat dalam ingatan penonton kerana pembawaan watak cukup berkesan yang sarat emosi dan penuh kejujuran.

Biarpun membawa karakter lelaki OKU yang serba kekurangan, lakonan Cheng berjaya menyentuh perasaan ramai termasuk penonton di Malaysia yang ketika itu sangat dekat dengan drama-drama Hong Kong.

Lebih menarik perhatian, perubahan fizikalnya kini jelas berbeza berbanding era kegemilangannya terutamanya sewaktu membawakan watak Fei Mao.

Perubahan Fei Mao

Menurut sumber laporan Asia One, Kent yang kini berusia 74 tahun telah kehilangan sebanyak 35 kilogram demi mendapatkan kembali kesihatannya.

Menurutnya, “Badan saya sudah tidak mampu menampung keadaan itu lagi apabila usia semakin meningkat dengan pelbagai masalah kesihatan mula timbul.”

Perubahan fizikal ketara itu juga berkait rapat dengan gaya hidup baharu yang diamalkan Kent Cheng sejak kebelakangan ini.

Asia One turut berkongsikan kejayaan Kent Cheng dalam mencipta satu lagi pencapaian peribadi apabila berjaya menamatkan larian pertamanya sejauh 10 kilometer.

Menurut beliau ia merupakan hasil inspirasi daripada rakan seperjuangannya yang juga merupakan aktor legenda, Chow Yun Fat.

“Saya berlatih dari pertengahan Mac tahun lalu hingga bulan ini, tepat selama 10 bulan, bermula dari kosong. Saya berjaya melengkapkan larian 10 kilometer dan berasa sangat gembira.”

“Saya ingin mengucapkan terima kasih terutamanya kepada sifu saya (merujuk kepada Yun Fat). Saya berjaya merealisasikan impian saya di bawah bimbingan dan tunjuk ajar beliau. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan atas dorongan mereka.”

Sumber