Aksi final Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2026 pada Sabtu nanti bakal menemukan juara dua kali, Jepun dan China yang masih memburu kejuaraan pertama mereka dalam kejohanan ini.
Jepun yang juga merupakan juara bertahan Piala Asia B-23 berdepan tugas getir di separuh akhir tempoh hari selepas hanya menang tipis 1-0 ke atas Korea Selatan hasil jaringan tunggal Kaito Koizumi pada minit ke-36.
Skrip berbeza dilalui China apabila dengan selesa menundukkan Vietnam 3-0. Selepas terikat tanpa jaringan di babak pertama, skuad kendalian Antonio Puche Vicente itu mengganas dengan tiga gol.

Jaringan yang membawa China ke pentas final buat pertama kali dalam sejarah pertandingan itu disumbangkan oleh Peng Xiao pada minit ke-47, Xiang Yuwang (minit ke-52) dan Wang Yudong (minit ke-90+8).
Aksi Menarik Final Piala Asia B-23 2026
Pertembungan di pentas akhir ini bukan sekadar soal kejuaraan, malah menjadi pertembungan dua falsafah bola sepak Asia yang berbeza.
Jepun hadir dengan reputasi sebagai kuasa besar pembangunan akar umbi Asia, sarat dengan pemain yang berdisiplin tinggi, tersusun dari segi taktikal serta berpengalaman di pentas antarabangsa.
Kejayaan mara ke final buat kali kedua berturut-turut dalam Piala Asia B-23 membuktikan konsistensi Samurai Biru Muda dalam melahirkan generasi pelapis berkualiti.
Sebaliknya, China membawa semangat kebangkitan baharu. SelepasĀ lima edisi kelihatan bergelut untuk melepasi peringkat kumpulan, kemaraan ke final buat kali pertama menjadi isyarat jelas perubahan arah serta hasil pelaburan jangka panjang dalam pembangunan pemain muda mereka.