Jepun meneruskan kecemerlangan pada Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 apabila menjadikan Bahrain mangsa kedua dengan kemenangan 5-0 di Bahrain National Stadium, awal pagi tadi.

Ia merupakan kemenangan besar buat kali kedua berturut-turut dilakarkan oleh anak buah Hajime Moriyasu dimana sebelum ini mereka membelasah China 7-0.

Baca Juga:

Jepun mendapat peluang untuk membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan perlawanan tetapi tolakan Ritsu Doan setelah menerima hantaran lintang Kaoru Mitoma sekadar singgah di tiang gol.

Dua minit kemudian giliran penyerang Bahrain, Kamil Al Aswad menguji gawang Jepun menerusi tandukan dalam kawasan penalti, namun Zion Suzuki lebih tangkas untuk menafikan percubaan tersebut.

Gol pertama Jepun hadir pada minit ke-37 selepas Ayase Ueda menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil perlawanan.

Sepakan penalti tersebut diberikan selepas hantaran lintang Daichi Kamada terkena tangan pemain pertahanan, Abdullah Al-Khalasi.

Ueda menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-47 apabila percubaannya dalam kawasan penalti hanya mampu dipandang penjaga gol, Ebrahim Lutfalla.

Hidemasa Morita menambah derita tuan rumah apabila beliau yang menerima umpanan Ueda tidak berdepan masalah untuk menewaskan Abdullah pada minit ke-61.

Tiga minit kemudian, Morita sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring selepas beliau mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang Mitoma.

Pemain gantian, Koki Ogawa menutup pesta jaringan itu pada minit ke-81 untuk memastikan kemenangan lima gol tanpa balas buat Jepun.

Dengan kemenangan bergaya tersebut, Jepun kini menghuni tangga teratas kumpulan C dengan enam mata, berkelebihan dua mata di hadapan pencabar terdekat, Arab Saudi.

Bahrain yang menang ke atas Australia pada aksi sulung berada di kedudukan ketiga manakala mereka diekori Indonesia (dua mata), Australia (satu mata) dan China.