Indonesia terpaksa akur dengan kehebatan Jepun apabila dibelasah 0-6 pada aksi terakhir peringkat kumpulan pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Stadium Suita sebentar tadi.

Kekalahan besar itu bagaimanapun tidak menjejaskan peluang Indonesia untuk melangkah ke pusingan keempat selepas menamatkan saingan kumpulan C di kedudukan keempat dengan mengumpul 12 mata.

Merehatkan beberapa pemain utama tidak langsung menggugat kemampuan Jepun yang tampil cukup garang sejak awal permainan.

Ia jelas dibuktikan apabila skuad tuan rumah kendalian Hajime Moriyasi membuka tirai jaringan seawal minit ke-15.

Jaringan pembukaan itu berpunca daripada tandukan Daichi Kamada dalam kawasan penalti yang cuba dinafikan penjaga gol, Emil Audero tetapi ia masih belum cukup untuk menghalang gol pertama tersebut terhasil.

Empat minit kemudian, Takefusa Kubo pula menceriakan kem Jepun selepas gerakan solonya dalam kawasan penalti dimanfaatkan dengan baik untuk jaringan kedua.

Tidak cukup dengan itu, Kamada pula membuktikan kemampuannya dengan gerakan lincah dan disudahkan dengan kuisan lambung menewaskan Audero bagi menjadikan kedudukan 3-0 pada rehat babak pertama.

Memasuki minit ke-55, Ryoya Morishita menambah jaringan keempat setelah menyudahkan umpanan dilakukan Shuto Machino.

Hanya berselang tiga minit, Kubo melakukan umpanan lambung cantik untuk memberikan ruang kepada Machino yang melepasi perangkap ofsaid bagi gol kelima perlawanan.

Mao Hosoya menamatkan pesta jaringan dengan jaringan pada minit ke-80 untuk memastikan kemenangan enam gol tanpa balas buat Jepun.

Dengan tamat saingan kumpulan, Jepun yang sudah mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 mengakhiri kempen selaku juara kumpulan dengan 23 mata.