Persatuan Bola Sepak Norway (NFA) enggan pasukan kebangsaan negara itu untuk turun menentang Israel dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 bagi Zon Eropah.

Liz Klaveness, Presiden NFA, telah mengesahkan bahawa organisasi itu secara aktif menekan badan-badan bola sepak antarabangsa untuk mengenakan sekatan ke atas Israel ekoran pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh regim itu ke atas rakyat Palestine.

Baca Juga:

Klaveness berkata demikian selepas majlis undian kelayakan, yang meletakkan Norway bersama Israel, Estonia, Moldova, dan pasukan yang kalah pada suku akhir antara Jerman-Itali dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah.

“Persatuan Bola Sepak menyokong pendirian kerajaan Norway dan menuntut agar serangan Israel dihentikan serta-merta ke atas orang awam yang tidak bersalah di Gaza.

“Tiada seorang pun daripada kita boleh kekal acuh tak acuh terhadap kekejaman yang sedang berlaku di Gaza,” katanya.

Pasukan Norway dijadualkan menentang Israel pada 25 Mac dan 11 Oktober. Bagaimanapun, keputusan persatuan untuk memboikot menimbulkan ketidakpastian sama ada perlawanan ini akan diteruskan.

Kekejaman regim Zionis yang berterusan ke atas rakyat Palestine membuatkan komuniti sukan antarabangsa menggesa agar pemain atau pasukan dari negara itu digantung dari menyertai mana-mana kejohanan.

Kontinjen Israel menerima cemuhan dari orang ramai yang hadir ketika upacara perasmian temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Ketika giliran kontinjen Israel, atlet dari negara itu terus mendapat cemuhan dari orang ramai yang hadir dan ada juga yang melaungkan slogan bebaskan Palestine ketika mereka berarak.

Apa yang menjadi perhatian, salah satu televisyen dalam negara iaitu RTM membuat liputan secara langsung upacara berkenaan dan setibanya atlet dari negara zionis itu, pihak produksi kemudiannya melakukan zoom out sekaligus tidak menunjukkan kelibat atlet tersebut di kaca tv.

Berbeza dengan kontinjen Palestine, orang ramai bersorak ketika giliran mereka berarak sekaligus memberikan sokongan penuh kepada atlet dari negara itu yang menderita kerana kekejaman rejim zionis.