Beberapa tahun lalu, pengurus berprofil tinggi, Zinedine Zidane mendedahkan sebab utamanya tidak pernah berminat untuk membimbing Manchester United.
Sejak Sir Alex Ferguson meninggalkan pasukan, The Red Devils sudah mempunyai lebih 10 pengurus termasuk yang bertindak selaku interim.
Baca Juga:
- Zidane Dedah Formula Kejayaan Ketika Era Cemerlang Bimbing Real Madrid

- Zidane Beri Bayangan Semakin Hampir Kembali Bergelar Pengurus

- Zidane Dedah Nama 3 Pemain Yang Buat Dirinya Teruja Setiap Kali Mereka Menyentuh Bola

Sehubungan dengan itu, nama Zidane kerap disebut-sebut untuk ke Old Trafford setiap kali Manchester United memecat pengendali mereka.

Beliau tanpa berselindung berpendapat bahawa masalah dari segi perbezaan bahasa menjadi antara penyebab yang membuatkan beliau tidak mempertimbangkan untuk membimbing kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Kenyataan itu dibuat Zidane dalam satu temu bual yang dipetik sumber laporan Goal pada 23 Jun 2022, ketika namanya kembali hangat dikaitkan dengan Old Trafford.
Alasan Zinedine Zidane
“Ketika saya masih lagi bergelar pemain, saya boleh memilih hampir kesemua kelab untuk diwakili.”
“Sebagai pengurus, tidak ada sampai 50 pasukan yang akan saya pilih. Mungkin akan hanya ada dua atau tiga pasukan sahaja.”
“Sekiranya saya kembali ke sebuah kelab, itu adalah untuk menjadi juara. Saya mengatakan perkara ini dengan rendah hati. Itulah sebabnya saya tidak boleh pergi ke mana-mana.”
“Untuk alasan lain juga, saya mungkin tidak boleh pergi kemana-mana. Yang mana satu? Misalnya, [aspek] bahasa. Keadaan tertentu membuatkan segalanya menjadi lebih sulit.”
“Ketika ramai yang bertanya kepada saya: ‘Apakah anda akan pergi ke Manchester?’ Saya memahami bahasa Inggeris tetapi saya tidak menguasai sepenuhnya bahasa tersebut.”

“Saya tahu bahawa ada pengurus yang pergi ke kelab tanpa menggunakan bahasa tempatan, namun saya bekerja secara berbeza. Untuk menjadi juara, banyak faktor yang memainkan peranan.”
“Ia adalah konteks global, saya tahu apa yang diperlukan untuk menjadi juara,” tambah Zidane lagi.
Beliau yang kini 53 tahun dikatakan semakin hampir untuk menggantikan bekas rakan sepasukannya, Didier Deschamps sebagai pengurus skuad kebangsaan Perancis selepas berakhirnya Piala Dunia 2026.