Kemurungan dikenal pasti sebagai faktor utama di sebalik tragedi pembunuhan pasangan suami isteri yang mengejutkan penduduk Sri Aman pada 14 Januari lalu.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit yang juga seorang guru besar dipercayai mengalami masalah kemurungan sejak ditukarkan bertugas ke sebuah sekolah di Lubok Antu.
Alami Kemurungan
Beliau berkata, dapatan itu diperoleh hasil keterangan daripada ahli keluarga, rakan dan rakan sekerja mangsa – lapor BH Online.
“Laporan kimia ke atas senjata tajam yang digunakan turut tidak menemui DNA asing. Hanya DNA kedua-dua mangsa ditemui,” katanya.
Ini sekali gus menguatkan rumusan bahawa kejadian berkenaan hanya membabitkan pasangan suami isteri itu sahaja, tanpa penglibatan pihak ketiga.
Tiada Unsur Pecah Rumah Atau Samun
Dalam kejadian tersebut, pasangan berusia 45 dan 44 tahun ditemui meninggal dunia di kediaman mereka di Taman Mutiara, Jalan Brayun, Sri Aman, dengan kecederaan serius pada tubuh.
Polis menerima maklumat daripada orang awam sekitar jam 6.55 pagi, sebelum sepasukan anggota dari IPD Sri Aman dan pegawai perubatan Hospital Sri Aman dikerahkan ke lokasi.
Pemeriksaan awal mengesahkan lelaki terbabit yang bertugas sebagai guru besar dan isterinya yang merupakan seorang jururawat meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Mohamad Zainal, siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan turut mendapati tiada kesan pecah rumah, tiada barangan hilang dan tiada unsur samun.
Polis juga telah merakam keterangan 30 saksi, termasuk ahli keluarga, jiran, rakan serta rakan sekerja kedua-dua mangsa, selain mendapatkan pandangan pakar patologi yang menjalankan bedah siasat.
Tunggu Analisis Forensik Telefon Bimbit
Walaupun kes disifatkan hampir selesai, polis masih menunggu laporan forensik telefon bimbit kedua-dua mangsa.
“Laporan itu mungkin dapat membantu kami memahami dengan lebih jelas motif sebenar kejadian, selain faktor kemurungan,” katanya.
Tragedi ini sekali lagi membuka perbincangan serius mengenai kesihatan mental, khususnya dalam kalangan individu yang berdepan tekanan kerja dan perubahan besar dalam kehidupan.