Seorang pelajar universiti swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga merempuh palang keselamatan di Pintu 2, Istana Negara, awal pagi Jumaat.

Tertuduh, M. Kajen, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni, petik The Star.

Baca Juga:

Mengikut kertas pertuduhan, pemuda berkenaan didakwa memandu sebuah kereta dengan tahap alkohol dalam darah sebanyak 166mg bagi setiap 100ml. Tahap tersebut didapati jauh melebihi had yang ditetapkan oleh undang-undang.

Insiden itu dilaporkan berlaku di Pintu 2, Istana Negara, Jalan Changkat Semantan kira-kira jam 3.50 pagi, Jumaat.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000, penjara tidak melebihi lima tahun, serta hilang kelayakan memegang lesen memandu bagi tempoh sehingga lima tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Inspektor Shazwan Hasifi Shahrun mencadangkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Walau bagaimanapun, M. Kajen memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan beliau masih berstatus pelajar dan bergantung kepada keluarga yang berpendapatan rendah.

Selepas menimbangkan rayuan tersebut, Majistret Khairunnisak membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah turut menetapkan 26 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sumber