Sepatutnya apabila melancong ke luar negara, kita mesti menjaga adab kerana melambangkan keperibadian seseorang serta membawa imej negara bersama.
Walaupun rakyat Malaysia dipandang tinggi di mata dunia, lambat-laun akan menjadi bencana jika berterusan melakukan masalah di luar negara.
Baru-baru ini, seorang pengguna Threads @traveljimat telah berkongsi satu insiden yang tidak disenangi berkait individu dari Malaysia yang dipercayai melakukan vandalisme di sebuah tempat pelancongan di Jepun.
“ Hari ni saya terjumpa pelekat group Semangat Hikers di belakang papan tanda di Fuji Ropeway.
“Saya dah buang pelekat ni demi menjaga nama Malaysia,” kongsinya. Pelekat yang ditampal itu berjaya dijejak asal usulnya selepas terdapat logo bendera Malaysia padanya.
Malah, dia menyingkap kembali kisah vandalisme yang berlaku pada tahun lepas di hutan buluh sampaikan masuk berita tempatan di negara matahari terbit itu.
Dalam pada itu, dia menitipkan pesanan buat rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara untuk menjaga nama baik Malaysia di persada antarabangsa termasuklah dengan menjaga harta benda awam ketika berada di sana.
Sementara di ruangan komentar, netizen Malaysia juga membidas tindakan segelintir individu yang melakukan vandalisme di luar negara dan risau akan potensi untuk disenarai hitam jika berterusan sebegini.