Iran menepati ramalan melangkah ke pentas final Piala Asia Futsal 2026 selepas menundukkan Iraq 4-2 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Indonesia Arena, Jakarta sebentar tadi.
Ia bakal menjadi penampilan ke-16 buat Iran beraksi di pentas final saingan paling berprestij di Asia itu. Mereka hanya terlepas dua aksi final pada edisi 2006 dan 2012.
Iran Cemerlang Ke Final
Kemenangan itu bagaimanapun tidak hadir dengan muda apabila skuad kendalian Vahid Shamsaei itu sempat dua kali ketinggalan pada separuh masa pertama.
Namun, kualiti serta disiplin tinggi dimiliki merintis kepada kejayaan mereka untuk sekali lagi melangkah ke final.
Iraq membuka tirai jaringan pada minit ke-10 selepas serangan balas pantas dilakukan membolehkan Salim Khadim menewaskan penjaga gol, Bagher Mohammadi.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Iran pantas memadam kelebihan itu berselang seminit kemudian menerusi gol mudah disumbangkan Mohammad Hossein Derakhshani.
Salim Khadim kembali meletakkan Iraq dihadapan pada minit ke-13 selepas beliau mengambil peluang hasil kelam-kabut dalam kawasan D pasukan lawan.
Ledakan padu kaki kiri Behrooz Azimihematabadi menjadikan kedudukan 2-2 untuk kedua-dua pasukan terikat pada babak pertama.
Memasuki minit ke-26, Hossein Tayebi bijak menyambar peluang ketika situasi sepakan penjuru untuk memberikan kelebihan jaringan buat Iran.
Beliau terlepas peluang untuk menambah gol pada minit ke-34 selepas sepakan penalti yang diambilnya berjaya diselamatkan Ibrahim Ahmed Albustani.
Ketika aksi hanya 59 saat untuk ditamatkan, Salar Aghapour mematikan api perjuangan Iraq dengan gol keempat sekali gus mengesahkan kemaraan ke final.