Iran terus membuktikan kejaguhan dengan muncul juara Piala Asia Futsal 2024 setelah berjaya menundukkan Thailand 4-1 pada aksi final yang berlangsung di Bangkok Futsal Arena, sebentar tadi.

Kejayaan manis dilakarkan itu merupakan kejuaraan ke-13 buat Iran sejak kejohanan tersebut diperkenalkan pada tahun 1999 di Kuala Lumpur.

Berada di ranking keenam dunia, Iran yang dibimbing Vahid Shamsaei membuatkan ribuan penyokong Thailand terdiam seawal minit pertama.

Ia berikutan jaringan yang dihasilkan Mehdi Karimi menerusi ledakan rendah ketika situasi sepakan ke dalam bagi menewaskan penjaga gol Thailand, Arut Senbat.

Aksi kemudiannya bertambah menark dengan Thailand turut mendapat beberapa peluang terbaik terutamanya menerusi Muhammad Osamanmusa tetapi penjaga gol Iran, Bagher Mohammadi cukup kental menghalang gawangnya daripada dibolosi lawan.

Sebaliknya penjaring terbanyak kejohanan, Saied Ahmad Abbasi menambah gol kedua pada minit keenam untuk menceriakan peminat setia Iran yang turut hadir memberikan sokongan di stadium.

Kem Thailand melonjak kegembiraan pada minit ke-26 apabila Jirawat Sornwichian dengan tenang menyempurnakan peluang hasil hantaran Osamanmusa untuk mengurangkan defisit jaringan.

Kapten Thailand itu hampir menambah jaringan penyamaan tidak sampai seminit kemudian, namun Mohammadi menggagalkan rembatan padu diledakan oleh Jirawat.

Seminit kemudian, Ali Ashgar Navlighe kembali memberikan kelebihan dua gol buat Iran hasil jaringannya ketika situasi sepakan sudut.

Lapan seminit sebelum aksi berakhir, Miguel Rodrigo menggunakan taktikal ‘Power Play’ untuk mencari jaringan tetapi kesilapan pada minit ke-35 membolehkan Mohammadi menjadikan kedudukan 4-1 sekali gus memastikan kejuaraan menjadi milik Iran pada edisi kali ini.