Thailand meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Piala Asia Futsal 2024 selepas mara ke perlawanan akhir hasil kemenangan 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Tajikistan pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Huamark Indoor Stadium, sebentar tadi.

Kejayaan manis dihadapan ribuan penyokong sendiri itu menyaksikan skuad futsal Thailand bakal membuat penampilan di pentas final buat kali ketiga dalam sejarah kejohanan.

Baca Juga:

Thailand sebelum ini tewas 0-4 kepada Iran pada edisi 2008 manakala empat tahun kemudian dikecewakan Jepun 1-6.

Skuad kendalian Miguel Rodrigo itu berada dihadapan pada minit ke-13 menerusi Worasak Srirangpirot yang menanduk bola hasil hantaran Narongsak Wingwon.

Aksi kemudiannya semakin menarik dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mengubah kedudukan.

Ketika para pemain menunggu masa untuk melangkah masuk bilik persalinan bagi rehat separuh masa pertama, Salomov Dilshod kembali mengikat kedudukan hasil serangan balas pantas dimulakan penjaga gol, Firuz Mekburudov.

Tajikistan tampil cukup garang di babak kedua hingga berjaya menambah dua jaringan menerusi Khojaev Bahodur pada minit ke-23 dan berselang enam minit kemudian.

Tersentak dengan dua gol tersebut, Rodrigo menggunakan taktikal ‘Power Play’ dan ia ternyata membuahkan hasil buat Thailand.

Bermula dengan jaringan Alongkorn Janphon pada minit ke-30 dan kemudiannya Therdsak Charoenphong menghidupkan peluang buat tuan rumah hasil jaringan ketika aksi hanya berbaki dua minit untuk ditamatkan.

10 minit masa tambahan masih tidak cukup buat kedua-dua pasukan hingga memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.

Thailand pada permulaannya ketinggalan 1-3 tetapi penjaga gol gantian, Katawut Hankampa cemerlang menafikan sepakan Sardorov Fayzali dan kemudiannya Itticha Praphaphan dan Panut Kittipanuwong menjadikan kedudukan 3-3.

Ketika tekanan semakin mendebarkan sewaktu kedudukan 5-5, Katawut muncul wira Thailand selepas beliau menafikan sepakan Dilshod.

Narongsak Wingwon yang mengambil sepakan terakhir tidak mensia-siakan peluang untuk membawa Thailand ke final.