Bintang futsal Thailand, Muhammad Osamanmusa mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama dari Asia Tenggara (ASEAN) yang bermain serta berjaya menjaringkan gol dalam saingan UEFA Futsal Champions League.
Beliau yang kini beralih angin untuk bersama Jimbee Cartagena yang merupakan juara Liga Futsal Sepanyol 2023/24 membuka akaun sulung dalam kancah berprestij di Eropah itu dengan jaringan pada minit ke-40.
Baca Juga:
- Kekal Di Eropah, Muhammad Osamanmusa Sertai Jimbee Cartagena
- VIDEO: Gol Roket Kaki Kiri Muhammad Osamanmusa Dalam Liga Futsal Sepanyol 2023/24
- Muhammad Osamanmusa: Kerja Keras Sejak Kanak-Kanak Berhasil, Kini Sebaris Bintang Dunia
Jaringan yang membantu Jimbee Cartagena membelasah wakil Itali, Catania Calcio A 5 dalam saingan Elite dimana ia merupakan pusingan terakhir sebelum pasukan tangga teratas peringkat kumpulan akan mara ke separuh akhir.
Bukan itu sahaja, malah beliau yang kini berusia 26 tahun turut mencipta satu bantuan jaringan pada perlawanan tersebut.
Osamanmusa yang sudah memasuki tahun ketiga di Eropah untuk beraksi dalam saingan Liga Futsal Sepanyol dimana sebelum ini beliau dua musim bersama Cordoba Patrimonio de la Humanidad.
Kempen 2023/24 jelas menjadi musim terbaik buatnya ketika di Sepanyol apabila Muhammad Osamanmusa cukup cemerlang dengan 13 gol dihasilkannya dalam saingan liga.
Prestasi baik yang sudah cukup untuk membuka mata kelab-kelab besar di sana untuk menagih sentuhan hebat pemain berdarah campuran Thailand-Ghana itu.
Beliau yang terpaksa terbang ke Sepanyol sedikit lewat kerana menyelesaikan dokumen berkaitan visa sudah mula membuat penampilan dalam kempen liga bersama Jimbee Cartagena.
Muhammad Osamanmusa berkelana ke Sepanyol selepas cemerlang di Thailand dengan berbekalkan pencapaian hebat dinikmati seperti dua kali muncul juara Liga Futsal Thailand musim 2020 dan 2021/22 bersama Chonburi Bluewave serta menjulang Thai FA Futsal Cup 2017/18 ketika menyarung jersi Bangkok BTS.