Sekiranya bercakap tentang futsal di Thailand, nama Muhammad Osamanmusa tidak akan lari daripada fikiran peminat sukan lima sebelah itu terutamanya di benua Asia dan Asia Tenggara (ASEAN).

Dengan kekuatan fizikal serta begitu prolifik dalam merobek gawang lawan, Osamanmusa sudah mula meletakkan namanya sebaris dengan pemain-pemain terkenal dunia.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Hal ini kerana beliau sudah memasuki musim kedua beraksi dalam saingan Liga Futsal Sepanyol dengan menyarung jersi Kelab Futsal Cordoba Patrimonio.

Kredit Foto: Cordoba Potrimonio

Karier cemerlang Muhammad Osamanmusa sebenarnya tidak bermula dengan mudah kerana neneknya mengambil tanggungjawab penuh dalam membesarkan Osamanmusa selepas bapa beliau meninggal dunia seawal usia pemain tersebut tiga tahun.

Malah, lebih sukar buat Osamanmua kerana terpaksa berjauhan dengan ibunya sejak kecil ekoran tuntutan kerja.

Sehubungan dengan itu, tidak hairanlah nenek Muhammad Osamanmusa tidak pernah ketinggalan untuk turun ke stadium bagi memberikan sokongan buat cucunya.

Tetapi semua itu diharungi dengan cekal Osamanmusa sehingga berjaya menggalas tanggungjawab bersama skuad senior Thailand sejak usianya 18 tahun.

Dan kini segala penat lelah itu menjadi saksi ketabahannya sehingga beliau kini berkelana ke Eropah untuk mengembangkan lagi kariernya.

Osamanmusa yang sudah memenangi trofi Kejuaraan Futsal AFF buat lima edisi berturut-turut serta pingat emas Sukan SEA 2017 (Kuala Lumpur) dan 2021 (Vietnam) berkongsi serba sedikit pengalaman dalam menjadikannya pemain seperti ketika ini.

“Sejak kecil lagi saya memang suka bermain futsal walaupun pada mulanya saya tidak tahu cara untuk ‘menyayangi’ sukan ini,” ujar beliau ketika dihubungi wakil The Vocket.

“Terdapat beberapa jurulatih yang memainkan peranan penting dalam kerjaya saya seperti ‘coach’ Moss [jurulatih ketika di bangku persekolahan], Miguel Rodrigo, Pulpis [Jose Maria Pazos Mendes] dan Carlos Cesar Nunez Gago.”

Miguel merupakan bekas jurulatih negara tersebut yang mula mengesan bakat hebat Osamanmusa sehingga menyerapkannya ke dalam skuad Thailand pada tahun 2016 serta skuad bawah 20 tahun berselang setahun kemudian.

Sementara itu, Pulpis merupakan ketua jurulatih Thailand yang kemudiannya digantikan oleh Carlos Cesar. Malah, Carlos Cesar juga bukan asing buat Osamanmusa kerana kedua-dua mereka terlebih dahulu berada dalam skuad Bluewave Chonburi.

“Saya sebenarnya bermula tanpa asas dalam futsal. Tetapi dalam masa yang sama saya melihat rakan-rakan lain lebih baik sehingga membuatkan saya menyimpan azam untuk bekerja lebih keras.”

“Melihatkan kepada keadaan tersebut, saya mula bekerja keras dan menjalani latihan dengan langkah demi langkah serta lebih mendisiplinkan lagi diri saya.”

“Perkara itu nyata amat penting bagi saya. Malah, saya juga turut berlatih bersendirian dan pada setiap hari, saya berusaha keras dalam memperbetulkan kesilapan dilakukan.”

Kredit Foto: Cordoba Potrimonio

Di samping itu, penjaring empat gol dalam kempen Liga Futsal Sepanyol musim 2023/34 itu turut memberikan nasihat kepada pemain muda terutamanya di Malaysia yang ingin membabitkan diri dalam futsal.

“Pemain muda boleh sahaja menjadi kunci kepada kekuatan sesebuah pasukan tetapi paling penting adalah ambillah seberapa banyak ilmu dan pelajari sesuatu yang baik daripada pemain lebih senior dan jurulatih.”

“Sekarang ini, tiada istilah ‘budak-budak’ dalam pasukan. Sesiapa sahaja boleh bermain dan memberikan sumbangan berkesan kepada pasukan,” tambah Osamanmusa lagi.