Pemain futsal skuad kebangsaan Iran, Moslem Oladghobad sedang menikmati antara saat indah dalam kariernya apabila beliau menjulang trofi utama buat kali kedua dalam tempoh seminggu.

Pada 28 April lalu, beliau membantu negara kelahirannya muncul juara Piala Asia Futsal 2024 buat kali ke-13 hasil kemenangan 4-1 ke atas Thailand di perlawanan akhir.

Baca Juga:

Sebaik sahaja pulang dari Bangkok, Oladghobad sekali lagi mengecap nikmat selaku juara dengan menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah setelah kelab diwakilinya, Palma Futsal menewaskan seteru utama, Barcelona 5-1, awal pagi tadi.

Lebih manis, Oladghobad dan Palma berjaya mengekalkan kejuaraan yang mereka menangi pada musim lalu.

Kejayaan yang terus menjadikan Sepanyol sebagai kuasa besar dalam kancah futsal di Eropah dengan 13 kejuaraan dimenangi kelab dari negara tersebut.

Oladghobad yang sudah dua musim bersama Palma Futsal juga turut berupaya meledakkan empat gol ketika peringkat kumpulan.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Armenia, Palma Futsal bagaimanapun tersentak pada minit ke-14 selepas percubaan Adolfo gagal diselamatkan penjaga gol, Luan Muller.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Palma meningkatkan tekanan ke atas Barcelona dan usaha mereka membuahkan hasil berselang empat minit kemudian menerusi Romulo untuk menyamakan kedudukan.

Tidak sampai seminit, Barcelona mendapat dua sepakan penalti ‘Second Spot) berikutan enam kesalahan terkumpul dimiliki Palma, namun sepakan diambil Catela dan Ferrao diselamatkan penjaga gol gantian, Carlos Barron.

Lebih para buat Barcelona apabila Vilian Laurenco menjadikan kedudukan 2-1 ketika aksi babak pertama hanya tinggal seminit untuk ditamatkan.

Ketika Barcelona semakin ghairah memburu jaringan penyamaan, Palma Futsal menghukum lawan tersebut menerusi serangan balas pantas yang disudahkan oleh Neguinho pada minit ke-33.

Juara empat kali saingan itu terus tertekan selepas ketua pasukan, Sergio Lozano dilayangkan kad merah dan ia memberikan ruang seluas-luasnya buat Palma untuk menambah dua lagi gol untuk mengesahkan kemenangan 5-1.