Liga Futsal Sepanyol merupakan antara saingan futsal domestik yang cukup berprestij dimana ia menggamit kehadiran pemain-pemain berkelas dunia.

Kelab-kelab seperti Barcelona, ElPozo Murcia, Mallorca Palma dan Inter Movistar juga mempunyai reputasi hebat dalam pertandingan yang mula diperkenalkan pada 1989 itu.

Baca Juga:

Musim 2023/24 menyaksikan sembilan pemain daripada benua Asia turut memperkuatkan beberapa kelab di sana.

Moslem Oladghobad. Kredit Foto: Mallorca Palma Futsal

Daripada sembilan pemain tersebut, empat daripadanya merupakan kelahiran Jepun iaitu Kokora Harada (Barcelona), Antonio Massanori Hirata Neto (Santa Coloma), Kaito Yamada (Inter Movistar) dan Shunta Uchida (Peniscola FS). Uchida bagaimanapun sudah meninggalkan kelab tersebut pada pertengahan musim.

Sementara itu empat lagi pemain pula terdiri daripada Hossein Tayebi, Moslem Oladghobad dan Salar Aghapour dari Iran yang beraksi bersama Mallorca Palma manakala Saied Ahmad Abbasi pula mewakili Vina Albali Valdepenas.

Sementara itu pemain kebanggaan Asia Tenggara (ASEAN), Muhammad Osamanmusa menyarung jersi Córdoba Patrimonio de la Humanidad.

Muhammad Osamanmusa. Kredit Foto: Córdoba Patrimonio de la Humanidad

Daripada kesemua pemain tersebut, Hossein Tayebi jelas mencuri tumpuan apabila beliau memainkan peranan penting dalam menjadi tonggak Mallorca Palma.

Pemain berusia 36 tahun itu sudah meledakkan 10 gol untuk menjadikannya sebagai penjaring terbanyak buat kelab tersebut dan dalam kalangan pemain Asia.

Penjaring kedua terbanyak pula ketika ini dipegang oleh Osamanmusa yang semakin menunjukkan kematangan pada musim kedua beraksi di Liga Futsal Sepanyol dengan enam gol dihasilkannya.

Salar Aghapour (jersi hijau) Kredit Foto: Mallorca Palma Futsal

Oladghobad dan Abbasi pula berkongsi kedudukan ketiga dengan lima gol manakala Aghapour mencetak jaringan sulungnya pada musim lalu.

Sementara itu Harada, Hirata dan Yamada masih berusaha keras untuk membuka koleksi jaringan dimana saingan liga berbaki 13 perlawanan lagi.