Siapa sangka, seorang pemuda berusia 21 tahun dari Ohio, Amerika Syarikat, mampu melakukan kerja pemasaran yang jauh lebih hebat daripada agensi pelancongan antarabangsa?
Itulah realiti yang berlaku apabila YouTuber sensasi, IShowSpeed (Darren Watkins Jr.), memulakan siri jelajah “Speed Does Africa” pada awal tahun 2026.
Bukan sekadar jeritan “Siuuu” yang dibawa, tetapi impak ekonomi dan diplomatik yang luar biasa sehingga mendapat perhatian orang nombor satu Ghana.
“Dia Buat Kerja Yang Kami Tak Mampu Buat” – Presiden Ghana

Dalam satu kenyataan mengejutkan di Forum Perniagaan Ghana -Zambia baru-baru ini, Presiden Ghana, John Dramani Mahama, secara terbuka mengakui kehebatan pengaruh Speed.
Presiden Mahama menceritakan bagaimana satu babak di mana Speed menerima urutan tradisional menggunakan Shea Butter di sebuah muzium telah mencetuskan fenomena global.
“Saya diberitahu selepas dia pergi, terdapat jutaan carian dalam talian tentang apa itu shea butter dan kegunaannya. Speed melakukan lebih banyak pengiklanan untuk kami daripada apa yang kami sendiri mampu lakukan,” kata Mahama.
“IShowSpeed did more advertising for us than we could have done ourselves. After he left, I was told there were about 20 million internet searches for Ghana and shea butter,”
— President John Dramani Mahama, speaking at the Ghana–Zambia Business Forum. pic.twitter.com/lYkRkTRIz1
— THE STATE NEWS (@THESTATENEWSS) February 6, 2026
Sebagai buktinya, difahamkan nama Ghana telah melonjak di enjin carian dengan jumlah 20 juta carian sebaik sahaja figura itu menjejakan kaki ke sana.
Untuk impak global, satu dunia mula menunjukkan minat dan bertanya “Di mana Ghana?” dan “Apa itu Shea Butter?”.
Malah, netizen turut mengakui akan kehebatan figura tersebut yang berjaya melakukan promosi untuk Ghana yang tidak mampu dibayar dengan wang.
“IShowSpeed secara bersendirian telah melonjakkan nama ‘Ghana’ sehingga menjadi trend Google global selama berminggu-minggu. Itu adalah PR percuma tahap luar biasa yang mana mana kementerian pun tak mampu nak beli,” ujarnya.
Bukan Sekadar Pelancong, Kini Warganegara Ghana

Jika di negara lain Speed hanya dianggap sebagai “influencer bising,” kerajaan Ghana mengambil langkah lebih berani. Menteri Luar Negeri, Samuel Okudzeto Ablakwa, mengesahkan bahawa permohonan pasport Ghana buat Speed telah diluluskan.
Keputusan ini dibuat selepas pengesahan bahawa Speed mempunyai hubungan keturunan (irrefutable ties) yang kuat dengan Ghana. Beliau kini secara rasmi memegang nama tradisional Barima Kofi Akuffo dan dianggap sebagai duta kebanggaan benua Afrika.
Perbandingan: Ghana vs Malaysia – Siapa Lebih ‘Genius’?
Melihat kejayaan Ghana ini, ini perbandingan impak ketika Speed berkunjung ke Kuala Lumpur pada September 2024 dan kunjungan dia ke Ghana pada tahun ini.
Perbezaan Penerimaan dan Tindakan Kerajaan
Apabila IShowSpeed berkunjung ke Malaysia pada tahun 2024, fenomena yang berlaku adalah sangat organik di mana beliau dikepung ribuan peminat di Pavilion tanpa sebarang protokol khas.
Namun, pihak kerajaan pada ketika itu dilihat hanya sekadar memerhati aliran trafik media sosial yang tinggi tanpa mengambil tindakan susulan yang drastik.
Berbeza sekali dengan Ghana pada tahun 2026, di mana kehadiran beliau bukan sahaja disambut peminat, malah diiktiraf secara rasmi oleh Presiden dan menteri.
Malah, kerajaan Ghana bertindak lebih jauh dengan memberi kewarganegaraan dan pasport sebagai “ikatan” tetap untuk memastikan Speed terus membawa nama negara mereka ke persada dunia.
Impak Promosi Produk dan Status Hubungan
Dari segi promosi produk, kunjungan Speed ke Malaysia berjaya menularkan makanan tempatan seperti Burger Ramly dan Durian, namun impaknya bersifat viral sesaat dan lebih kepada hiburan semata-mata.
Di Ghana, strategi mereka lebih terancang apabila Speed mempromosikan Shea Butter sehingga produk itu mencecah 20 juta carian global, sekali gus memberi kesan ekonomi yang nyata.
Akhir sekali, perbezaan paling ketara adalah pada status hubungan beliau; di Malaysia, Speed hanyalah seorang pelancong atau pencipta kandungan yang singgah sementara, manakala di Ghana, beliau telah diangkat sebagai Duta Budaya dan anak tempatan yang mempunyai tanggungjawab rasmi terhadap negara tersebut.
Malaysia Terlepas Peluang?

Ramai berpendapat Malaysia sedikit “rugi” kerana tidak menggunakan pengaruh Speed secara lebih strategik.
Walaupun video Speed makan Burger Ramly mencecah jutaan tontonan, kita tidak “mengunci” peluang tersebut untuk dijadikan kempen nasional jangka panjang.
Sebaliknya, Ghana melihat Speed bukan sebagai gangguan, tetapi sebagai aset digital yang mampu membawa pelaburan asing dan pelancongan Gen Z ke negara mereka.