Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan penggunaan dashcam bagi semua pengguna jalan raya sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh penguatkuasaan dan keselamatan jalan raya.

Mohd Rozi Jidin, Timbalan Pengarah I (Penguatkuasaan/Kawalan Trafik/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman berkata, buat masa ini dashcam masih dianggap sebagai aksesori dan tidak diwajibkan, petik Astro Awani.

Namun sudah tiba masanya perkara itu dinilai semula oleh pihak berkuasa, terutamanya Kementerian Pengangkutan.

Beliau menambah bahawa cadangan ini bertujuan agar orang awam dapat menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa.

“Sudah tiba masanya negara kita mungkin boleh menetapkan syarat atau kewajipan. Buat masa ini ia tidak wajib, lebih kepada aksesori, tetapi mungkin sudah tiba masanya untuk kita mewajibkannya supaya semua pengguna jalan raya boleh menjadi mata pihak berkuasa, di mana kesalahan boleh dirakam dan dilaporkan,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa JSPT sedang merancang satu mekanisme yang akan menawarkan merit atau insentif kepada individu yang melaporkan kesalahan trafik melalui rakaman dashcam.

Contohnya, pemberian diskaun saman pada masa hadapan bagi mereka yang aktif menyalurkan maklumat.

“Ini masih dalam perancangan JSPT dalam konteks dashcam. Mungkin apabila tiba masanya untuk diskaun saman, mereka yang tidak melaporkan (kesalahan melalui dashcam) tidak akan mendapatnya, tetapi mereka yang berbuat demikian akan mendapat kelebihan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa JSPT telah menerima maklum balas positif daripada masyarakat yang menyokong peluasan penggunaan dashcam dalam penguatkuasaan.