PROTON melancarkan Proton S70 2026, kemas kini daripada model pertama yang dilancarkan pada tiga tahun lalu.
Hadir dengan empat pilihan varian, harga jualan bermula dari kira-kira RM73,800 bagi varian Executive, RM79,800 (Premium), Flagship (RM89,800), manakala varian Flagship X berharga sekitar RM94,800.
Baca Juga:
- Netizen Puji Proton S70 ‘Sedan Kebal’, Pemandu Cedera Ringan Walau Tiang Papan Tanda Tumbang Dilanggar

- ‘Terbaik Sang Saka Biru’ – Netizen Bangga PDRM Guna Proton S70

- Walaupun Berusia 99 Tahun, Tun Mahathir Masih ‘Steady’ Pandu Uji Proton S70

Proton S70 2026 kini tampil lebih berkuasa dengan peningkatan enjin daripada 3-silinder kepada 1.5L Turbo 4-silinder i-GT yang lebih lancar.
Enjin baharu ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 181 PS dan tork 290 Nm, digandingkan dengan transmisi 7-kelajuan Dual Clutch (DCT). Gabungan ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa hanya 7.5 saat sahaja.

Dari segi reka bentuk, model 2026 menerima sentuhan segar dengan lampu hadapan LED baharu yang memisahkan lampu isyarat daripada lampu siang (DRL).
Rim aloi 17-inci juga hadir dengan rekaan yang lebih moden. Varian tertinggi, Flagship X, turut dilengkapi dengan Aerokit baharu yang merangkumi spoiler belakang dan skirting sisi dengan kemasan merah untuk imej yang lebih agresif.
Bahagian dalaman kini lebih pintar dengan sokongan Wireless Apple CarPlay dan Android Auto melalui skrin infotainmen bersaiz 12.3-inci (untuk varian Flagship ke atas).
Pemandu juga disediakan dengan kluster instrumen digital 10.3-inci, pengecas tanpa wayar, dan kerusi pemandu boleh laras elektrik, manakala varian Executive masih mengekalkan unit utama 8-inci yang praktikal.

Ciri keselamatan kekal menjadi keutamaan dengan pengenalan sistem ADAS Tahap 2 yang lengkap pada varian Flagship.
Antara ciri yang disertakan termasuklah Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control (ACC) dengan fungsi Stop & Go, serta penambahan sistem keselamatan baharu seperti Lane Change Assist dan Rear Cross Traffic Alert untuk pemanduan yang lebih yakin.
Untuk pilihan warna, Proton menawarkan Ruby Red (warna baharu), Snow White, Armour Silver, Space Grey, Marine Blue, Teal Bayou Green, dan Quartz Black.