Seorang warga emas Singapura yang menghidap demensia ringan dan dilaporkan hilang sejak 7 Februari di Kuala Lumpur, akhirnya telah ditemui.
Perkembangan terbaharu mengenai pencarian Halim bin Yunos ini dikongsi melalui Instagram pada 15 Februari oleh menantunya yang dikenali sebagai Wan, petik portal Mothership.
Menurut perkongsian Instagram rakan Wan, Imran M Sinwan, Halim ditemui di Cheras ketika dia sedang menjengah ke dalam rumah sebuah keluarga yang sedang menikmati makan malam sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Selepas memeriksa dompetnya dan mendapati dia adalah warga Singapura, keluarga berkenaan terus membawanya ke balai polis.
Bercakap kepada Mothership, Imran berkongsi bahawa dia dimaklumkan oleh Wan pada 9 Februari mengenai kehilangan bapa mentuanya itu.
Hal ini berlaku selepas Wan menghabiskan masa sepanjang 8 Februari mencari warga emas tersebut sendirian.
Difahamkan, bapa mentuanya itu hilang dalam tempoh antara malam 7 Februari sehingga awal pagi 8 Februari.
Imran menambah bahawa dia kemudiannya menghubungi kenalan peribadinya di Kuala Lumpur yang merupakan seorang pemandu Grab.
Pemandu tersebut berjaya mengajak empat lagi rakan pemandu yang lain untuk turun padang membantu Wan dalam misi pencarian tersebut.
Selepas dua hari mencari dari pagi hingga ke tengah malam dengan menaiki motosikal, para pemandu tersebut mencadangkan agar lebih ramai tenaga kerja dikerahkan kerana faktor keletihan mula dirasai.
Setelah bersetuju dengan cadangan itu, lima pemandu asal tersebut menghubungi rakan-rakan pemandu yang lain, sehingga akhirnya seramai 30 ke 40 orang pemandu turun membantu.
“Kami menamakannya sebagai Operasi Cari Halim Yunos,” katanya.
Terdahulu, Wan menjelaskan bahawa keluarganya telah ke Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupu mereka.
Majlis tersebut berjalan dengan lancar dan warga emas itu hanya dilaporkan hilang selepas acara berakhir.
“Kami nampak dia sebenarnya keluar dari tempat penginapan,” kata Wan, sambil menambah bahawa ibu mentuanya telah mengetuk pintu bilik untuk memaklumkan bahawa bapa mentuanya itu telah keluar.
Walau bagaimanapun, pihak keluarga gagal mengesan warga emas tersebut meskipun telah puas mencari di sekitar kawasan berkenaan.
Mereka kemudiannya membuat laporan polis di Malaysia pada 8 Februari selepas mangsa tidak pulang ke kediaman pada pagi tersebut.
Menurut Wan, sebelum kejadian ini, bapa mentuanya telah menunjukkan tanda-tanda awal demensia sejak setahun yang lalu dan hanya disahkan menghidap penyakit tersebut secara rasmi kira-kira dua bulan yang lepas.