Keberkesanan ekosistem pembayaran digital di Malaysia menerusi aplikasi Touch ‘n Go (TNG) kini mula mendapat perhatian meluas daripada pengguna di negara jiran, Indonesia.

Semuanya bermula dari hantaran seorang pengguna Indonesia yang memuji akan rekaan antara muka aplikasi yang mesra pengguna dan menarik serta mudah digunakan.

“Tolong @mytouchngo, buatkan juga untuk versi Indonesia supaya kami boleh mendaftar menggunakan KTP (kad pengenalan), sebab reka bentuk antaramuka (UI) aplikasi ini sangat menarik dan bagus,” ujarnya di platform Threads.

Dan dari sinilah muncul respon positif dari sejumlah pengguna Indonesia yang pernah mencuba aplikasi Touch ‘n Go dalam urusan transaksi di Malaysia mahupun serantau.

'Tolong Buat Untuk Negara Kami Juga' - Pengguna Indonesia Puji Aplikasi Touch 'n Go Milik Malaysia
Sumber Gambar: Threads

Antara pujian yang diberikan sudah semestinya kemudahan untuk mereka melakukan transaksi merentasi sempadan termasuk di negaranya mahupun di Malaysia dengan mudah dan boleh dijadikan tempat penyimpanan wang.

Malah, salah seorang pengguna Indonesia turut teruja melihat bagaimana aplikasi Touch ‘n Go sudah menjadi aplikasi universal kerana mempunyai sokongan transaksi ke lebih 50 negara di serata dunia.

Oleh itu, netizen negara jiran berhasrat untuk mempunyai aplikasi sedemikian kerana memberi manfaat untuk urusan seharian mereka apatah lagi buat yang menetap di Indonesia yang mahu berurusan dalam talian merentasi sempadan.

Walaupun memiliki beberapa aplikasi dompet digital versi Indonesia, mereka merasakan masih terdapat kekurangan dari segi fungsi serta tiada sokongan pembayaran yang meluas berbanding yang tersedia oleh TNG eWallet.

Dalam pada itu, mereka berharap agar pendaftaran di aplikasi TNG boleh menerima kelayakan Kartu Tanda Penduduk seumpama IC versi Indonesia dan tidak terhad kepada pasport atau nombor telefon sahaja.