Bazar Ramadan merupakan salah satu acara yang sangat dinantikan oleh rakyat Malaysia kerana penawaran pelbagai juadah menarik yang boleh didapati hanya pada bulan tertentu sahaja.

Namun, sejak kebelakangan ini, wajah bazar yang dahulunya sinonim dengan kesederhanaan dan kemesraan mula mengalami transisi yang drastik.

Hal ini dibangkitkan oleh beberapa pengunjung yang berkunjung ke bazar semalam berkongsi kegusaran mengenai suasana yang dirasakan semakin berubah.

Menurut seorang wanita, antara sebab mengapa dia merasakan Bazar Ramadan sudah tidak sama lagi apabila lebih banyak  menu makanan viral di festival makanan yang dijual berbanding makanan kuih-muih tradisional dan lauk masakan ‘orang lama’.

“Bagi saya terlampau banyak makanan yang dijual seperti makanan masa festival makanan. Dia jadi hilang vibes bazaar ramadhan stadium mcm tahun-tahun sebelum ni yang banyak jual kuih muih dan pelbagai lauk….,” keluhnya.

Antara makanan viral yang dimaksudkan termasuklah chicken chop, puding karamel dan chicken tender. Walhal, ramai mengharapkan kuih-muih tradisional dijual kerana rindu dengan rasanya serta sukar didapati pada hari biasa.

Selain jenis makanan, isu harga turut menjadi bualan hangat. Identiti bazar Ramadan yang dahulunya dikenali sebagai destinasi “mesra poket” kini dilihat semakin pudar.

Seorang lagi individu turut bersetuju dengan kenyataan wanita tersebut dan menyatakan isu harga yang terlampau mahal mendorong kepada kehilangan identiti bazar ramadan serba mampu milik yang kita membesar selama ini.

'Tak Macam Dulu' – Pengunjung Kecewa Bazar Ramadan Kini Jadi 'Food Festival'
Sumber Gambar: Threads

“Laksa biasa RM10, tambah bahan jadi RM21, chicken tender RM25, 4 biji karipap kentang RM10, 4 biji popia basah RM10,” ini antara dakwaan harga yang dijual di beberapa lokasi bazar yang berbeza.

Malah, ada yang memilih untuk pulang dengan tangan kosong kerana tidak sanggup membayar harga yang dianggap tidak munasabah untuk satu juadah.

Adakah anda turut rasa perubahan drastik di kawasan bazar Ramadan anda?